Reuters

Sydney: Penyerang Diego Costa menafikan laporan media menyatakan dia tidak gembira di Chelsea selepas membantu juara Inggeris itu menang 1-0 ke atas Sydney FC pada perlawanan jelajah, kelmarin.

“Saya tiada alasan untuk meninggalkan tempat ini. Saya sayangkannya, peminat sukakan saya dan saya mahu kekal,” kata pemain kebangsaan Sepanyol itu kepada saluran TV dalaman Chelsea.

Terdahulu, akhbar Britain, Sun mendedahkan bekas pemain Atletico Madrid itu rindukan kampung halaman dan berhasrat kembali ke Sepanyol.

Costa yang dilahirkan di Brazil menamatkan satu musim di Stamford Bridge namun sudah memenangi dua trofi, Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga serta menjaringkan 20 gol dalam liga.

“Amat bagus hadir pada musim pertama dan menang dua trofi,” jelasnya. “Ia amat penting dan tahun depan saya sedia kembali dan harapnya menang beberapa trofi lagi.”

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho berkata, Costa, yang menyertai kelab London itu dengan harga £32 juta (RM180 juta) tahun lalu, “menikmati setiap saat” di Stamford Bridge.

“Dia seorang pemain yang mencetus suasana ceria dalam bilik persalinan. Dia terlalu gembira, dia terlalu melucukan,” ujar pengendali Portugis itu.

“Dia pemain paling gembira dalam bilik persalinan jadi jika ini bukannya satu kegembiraan, saya gembira dengannya.”

Costa penjaring ketiga terbanyak Liga Perdana musim lalu di belakang penyerang Manchester City, Sergio Aguero (26 gol) dan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (21).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:21 AM