ANGGOTA polis masih giat memburu enam perompak terbabit.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Enam perompak yang bersembunyi di Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, sejak 5 pagi tadi dipercayai melarikan diri ke hutan simpan berhampiran taman rekreasi itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Senior Asisten Komisioner Muhamad Azlee Abdullah berkata, pihaknya mula mengesan enam penjenayah terbabit dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan TTDI, 4.30 pagi tadi.

Menurutnya, perompak yang bersenjatakan parang itu melarikan diri ke arah taman rekreasi berkenaan sejurus diarah berhenti untuk pemeriksaan.

"Gerakan Ops Tutup terus dilakukan pihak kami bagi menjejaki penjenayah terbabit, bagaimanapun orang awam kini boleh memasukan taman rekreasi itu.

"Polis percaya penjenayah ada kaitan dengan beberapa siri rompakan di kawasan ini dan operasi memburu suspek masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 2:53 PM