PASUKAN mencari dan menyelamat meneruskan operasi mencari mangsa lemas.
Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Bintulu: Enam daripada tujuh mangsa tragedi perahu karam di Sungai Kemena di sini, membabitkan seorang lelaki dewasa, seorang wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

Timbalan Ketua Polis Bintulu, Deputi Superintendan Lim Kwai Seng berkata, setakat ini, hanya seorang mangsa yang belum ditemui iaitu seorang wanita, dipercayai ibu kepada seorang mangsa yang terselamat.

Menurutnya, semua mayat yang ditemui berada dalam lingkungan dua sehingga lapan kilometer dari lokasi kejadian.

"Setakat ini, polis masih menunggu kehadiran keluarga mereka untuk membuat pengecaman mayat dan mengenal pasti identiti mangsa.

"Polis juga sudah mengarahkan anggota untuk mengesan keluarga terdekat bagi melakukan pengecaman," katanya kepada Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, sebuah perahu panjang yang dinaiki lapan sekeluarga karam akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Kemena di sini.

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua ini diteruskan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Sungai Sarawak (LSS), Pasukan Bomba Sukarela dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 1:08 PM