PELUANG bergambar bersama SpongeBob dan Patrick antara aktiviti yang dinantikan pengunjung.
PERMAINAN pelampung kembung (inflatable) SpongeBob sempena cuti sekolah ini yang terbesar di Malaysia.

Siapa yang tidak kenal dengan watak kartun popular ini. Tanpa mengenal usia, populariti SpongeBob ­SquarePants memang tidak dapat dinafikan, malah penulis sendiri antara peminatnya.

Jalan ceritanya mudah dan tidak memerlukan watak sukar untuk dihayati serta difahami. Ia mengisahkan aktiviti SpongeBob iaitu sejenis span laut yang dikeliling pelbagai ragam dan rencah kehidupan dunia di laut dalam.

Stephen Hillenburg adalah figura yang bertanggungjawab mencetuskan fenomena SpongeBob SquarePants ini yang turut menampilkan watak menarik seperti Patrick Star, Squidward, Mr Krabs, Sandy Cheeks, Gary The Snail dan Larry T Lobster.

Dunia lautan menjadi pilihan Hillenburg berikutan dirinya adalah bekas ahli biologi marin. Malah, Hillenburg pernah menjadi tenaga pengajar subjek Biologi Marin di Institut Lautan Orange County, California selama tiga tahun.

Dia juga meminati bidang lukisan dan berjaya memperoleh sarjana dalam bidang animasi dari Institut Seni California yang seterusnya membuka ruang untuk Hillenburg menyertai Nickleodeon sebagai ­pengarah kreatif untuk siri animasi ‘Rocko’s Modern Life’.

Ketika itu dia mula terfikir untuk menghasilkan siri kartunnya sendiri dengan menggabungkan dua bidang yang diminatinya lukisan dan kehidupan marin.

Habitat marin seperti ketam, sotong, tapak sulaiman dan sudah pastinya span laut menarik minat Hillenburg ketika bertugas sebagai ahli biologi marin.

Hasilnya semua pengalaman dan ilmu yang diperoleh itu digabungkan lalu menghasilkan watak SpongeBob Squarepants bersama komuniti marin lain dalam sebuah bandar dikenali Bikini Bottom.

“Saya memilih span laut sebagai watak SpongeBob kerana ia haiwan paling pelik. Realitinya, span laut adalah haiwan tanpa bentuk dan sering melekat pada batu atau sebarang permukaan di bawah laut.

“Itu bentuk sebenar span laut yang saya lukis ketika mula-mula menghasilkan watak SpongeBob. Ia agak membosankan, jadi saya jadikan watak SpongeBob itu besar, empat segi, berwarna kuning dan kelihatan seperti span yang kita gunakan untuk mencuci pinggan. Baru nampak lucu dan lebih menarik,” katanya ketika me­ngimbau kembali kewujudan kartun itu.

Meskipun SpongeBob SquarePants makin jarang disiarkan di saluran tempatan, peminatnya masih ramai. Buktinya, ketika pelancaran Summer Holiday Splash di Pavilion, minggu lalu, ruang legar pusat beli-belah itu dipenuhi masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan peringkat usia.

Masing-masing teruja melihat dunia Bikini Bottom yang menampilkan ruang permainan pelampung kembung (inflatable) terbesar di Malaysia setinggi 20 kaki, selain kemunculan istimewa SpongeBob dan Patrick.

Menariknya, 40 kanak-kanak dari Rumah Hope, Lighthouse Welfare dan Shelter 1 diberi peluang sebagai pengunjung pertama yang mencuba permainan itu sambil melakukan beberapa aktiviti bersama SpongeBob dan Patrick antaranya menari, melukis serta mewarna.

Menurut Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur Kung Suan Ai, perhatian diberikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik ini kerana mereka juga ingin menghabiskan cuti persekolahan dengan aktiviti menyeronokkan.

“Tiada bezanya kanak-kanak biasa dengan kanak-kanak ini. Mereka juga ingin bergembira dan berhibur dengan watak kartun kegemaran mereka. Tetapi biasanya mereka tidak ­berpeluang untuk ke pusat beli-belah dan menyertai ­aktiviti cuti sekolah seperti ini.

“Disebabkan itu kami ambil inisiatif untuk membawa kanak-kanak ini merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti interaktif bersama kanak-kanak lain,” katanya.

Bagi mendapatkan dua pas masuk ke Bikini Bottom ini, pengunjung perlu berbelanja RM100 di zon kanak-kanak terletak di aras lima atau RM200 di mana-mana kedai seluruh Pavilion.

Selain itu, RM50 yang didermakan untuk Tabung Bantuan Nepal turut membolehkan pengunjung menebus dua pas masuk ke kawasan permainan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 11:22 AM