XIOMI Mi4
HUAWEI HONOR 6
LENOVO K900
OPPO N1
ONE PLUS ONE
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my

Anggapan mengaitkan produk elektronik dari China tidak berkualiti tinggi mungkin tidak akan hilang dari minda rakyat negara ini. Persepsi itu seakan sebati di naluri mereka berdasarkan pengalaman lalu.

Apa saja produk yang bertulis Made In China dianggap tidak mempunyai kualiti sempurna jika dibandingkan dengan barangan buatan negara lain.

Pendapat sedemikian tidak dianggap salah memandangkan pengalaman sebelum ini dengan produk China yang tidak setanding dan tidak mampu bertahan lama.

Cuma harga yang murah menjadi taruhan pembeli.

Bagaimanapun, tidak semua produk dari China perlu dianggap ‚koman‘ atau cepat rosak kerana pembangunan sesuatu produk bergantung kepada kekuatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang meneliti kualiti barangan terutama perkakasan elektronik.

Anggapan pendapat itu tidak tepat selagi pengguna tidak mengkaji sejauh mana pembangunannya dilaksanakan sebelum dipasarkan.

Asalkan namanya dari China, belum tentu ia tidak berkualiti kerana syarikat yang bersungguh-sungguh dalam penyelidikan mampu menghasilkan produk hebat.

Pengeluar telefon pintar dari China misalnya mempunyai puluhan makmal ujian yang menyelidik keberkesanan pembangunan produk bukan saja di China, malah beberapa kawasan luar Asia.

Tidak dapat dijelaskan fungsi setiap makmal secara terperinci kerana banyak perkara tidak boleh didedahkan kepada umum, namun secara amnya ia mempunyai kelengkapan cukup untuk menguji telefon pintar sebelum dipasarkan.

Terdapat makmal yang menguji telefon pintar menerusi tiga ujian merangkumi ketahanan papan induk, ketahanan suhu dan kelembapan serta sistem haba.

Mengikut data yang dikeluarkan agensi penyelidik, lebih 10 juta peranti pintar dipasarkan di Malaysia pada tahun lalu dengan telefon pintar menjadi peneraju peranti menerusi nisbah 4:1 dibandingkan tablet.

Ia mengakui kuasa syarikat pengeluar telefon pintar dari China banyak mendorong kepada peningkatan jualan telefon pintar, sekali gus membuka persaingan lebih luas berbanding jenama dari Jepun, Korea Selatan atau Amerika Syarikat.

Penganalisis Pasaran untuk Peranti Klien IDC Asia Pasifik Jensen Ooi berkata, pengeluar telefon pintar dari China agresif dalam memasarkan produk masing-masing yang ditawarkan pada harga murah.

“Pengeluar ini melihat harga sebagai pemboleh ubah yang menjadi daya penarik kepada pengguna,” katanya.

Katanya, Malaysia mengalami perubahan ketara apabila bercakap soal telefon pintar apabila jenama bukan lagi menjadi tarikan utama ketika membeli.

“Apabila ia berkenaan peranti pintar, meskipun rakyat negara ini mahukan harga yang menepati bajet mereka, spesifikasi masih menjadi ciri utama ketika mendapatkan telefon pintar,” katanya.

Di sini permainan syarikat pengeluar dari China bermula selepas mempelajari apa yang sepatutnya mereka lakukan sebelum ketinggalan berbanding jenama

negara lain.

Dalam data dikeluarkan IDC, lima pengeluar utama telefon pintar di Malaysia adalah seperti berikut:

-Samsung: 30 peratus

-Lenovo: 17 peratus

-ASUS: 9 peratus

-Oppo: 7 peratus

-Apple: 7 peratus

Lenovo dan Oppo masing-masing berada di kedudukan kedua dan keempat di belakang jenama yang sudah biasa mengeluarkan telefon pintar sebelum ini.

Produk buatan China mempunyai kekuatannya tersendiri memandangkan pengalaman kepakaran industri pembuatan mereka tidak lagi boleh dipertikaikan.

Boleh dikatakan, berdasarkan pengalaman mereka merealisasikan rekaan syarikat dari Amerika Syarikat dan Eropah yang menghantar produk mereka ke timur, China banyak mendapat manfaat dan belajar berkenaan pembangunan teknologi terutama telefon pintar dengan pantas.

Sebaik kilang di China menerima tempahan produk telefon pintar ini, pada masa sama syarikat tempatan mencuri peluang melihat sendiri teknologi yang cuba ditampilkan di dalamnya.

Maka tidak hairan, syarikat pengeluar telefon pintar China berjaya menghasilkan keunikan pada produk masing-masing yang tidak ada pada produk Barat.

Oppo misalnya terkenal dengan pembuatan kamera pusing pertama mereka melalui model N1 yang unik.

Malah, mereka berjaya mengenal pasti masalah biasa bagi pengguna telefon pintar dan memperbaikinya pada produk yang dikeluarkan iaitu keupayaan cas pantas.

Terdapat lima jenama Made In China yang unggul termasuk Xiaomi, Oppo, Huawei, Lenovo dan One Plus yang memasuki pasaran di Malaysia.

Antara faktor terbabit ialah dengan kaedah pemasaran unik ataupun produk ‘flagship’ yang mula diterima pengguna.

IT@Metro mengimbas beberapa model dari jenama terbabit yang mula mendapat tempat di hati pengguna.

XIOMI MI4

Selepas kejayaan memberangsangkan Mi3, Xiaomi tampil memperkenalkan model baru, Mi4 yang diperbuat daripada bahan aluminium lebih berkualiti berbanding model sebelum itu.

Xiaomi Mi4 ditawarkan dengan paparan 5.5 inci bersama skrin jenis 2K Quad HD yang menghasilkan resolusi skrin 2,560 x 1,440 piksel dan imej yang timbul pastinya lebih jelas pada densiti 538ppi.

Rekaan dalamannya masih mengagumkan dengan keupayaan kuasa Quad Core 2.5GHz Qualcomm Snapdragon 805 yang mantap tanpa menafikan RAM 3GB tersedia.

- Harga ketika mula-mula dipasarkan: Anggaran RM1,100

- OS: Android 4.4 KitKat

- Rangkaian: 2G, 3G, 4G

- CPU: Quad Core 2.5GHz Qualcomm Snapdragon 805

- RAM: 3GB

- Skrin: 5.5 inci

- Setoran: 16GB

- Kamera: 16MP, flash dwiLED, OIS

- Kamera Depan: 5MP

HUAWEI HONOR 6

Honor 6 menjadi peranti pembuka mata terhadap jenama terbabit yang mempunyai kekuatannya tersendiri dilengkapi spesifikasi tinggi seperti CPU octa core dan sambungan data berkelajuan tinggi 4G LTE.

Ia telefon pintar dengan 4G LTE kategori 6 sepantas 300MB/s yang menggunakan cip pemprosesan keluaran mereka sendiri iaitu Kirin 920 pada peranti yang mempunyai skrin 5.0 inci.

- Harga ketika mula-mula dipasarkan: RM999

- CPU: Octa core Kirin 920, quad core cip A7 1.3GHz dan quad core cip A15 1.7GHz.

- Grafik: ARM Mali T628MP

- RAM: 3GB

- Memori dalaman: 16GB, slot kad mikroSD

- Skrin: 5 inci HD Penuh 1920 x1080

- Bateri: 3100mAh

- Kamera: 13MP, 5MP kamera depan

- OS: Android 4.4 KitKat

LENOVO K900

K900 menjadi produk premium yang menukar penampilan Lenovo di pentas antarabangsa, dibariskan di depan sebagai model utama berkuasa pemproses Intel Atom dengan rekaan senipis 6.9mm menjadikannya telefon paling nipis pada kategorinya dengan berat hanya 162g.

Model terbabit menggunakan bahan kukuh aloi dan polikarbonat di samping keupayaan skrin 5.5 inci jenis IPS 1080p HD penuh pada 400 piksel setiap inci yang dikuasakan skrin sentuh Gorilla Glass 2.

- Harga ketika mula-mula dipasarkan: RM1,699

- Kenipisan: 6.9mm

- Berat: 162g

- Skrin: 5.5” IPS 1080p HD Penuh

- Pemprosesan Intel Atom Z2580 2.0GHz dengan teknologi Intel Hyper-Threading

- Grafik: Intel Graphics Media Accelerator PowerVR SGX 544MP2

- Kamera: 13MP

OPPO N1

Oppo secara tiba-tiba datang dengan model N1, peranti dilengkapi kamera beresolusi 13 megapiksel boleh pusing sehingga 206 darjah.

Ini bermakna, Oppo hanya dilengkapi satu kamera saja berbanding telefon lain yang memerlukan kamera belakang dan depan.

Model terbabit bertujuan menjadikan satu kamera dalam telefon yang mempunyai kualiti kamera terbaik tidak kira depan atau belakang berdasarkan enjin pemprosesan imej Pure Image dihasilkan Oppo.

Kerangka aluminium penuh telefon ini bukan saja menghasilkan rekaan premium, malah warna cantik yang diperkemaskan. Ini menolak stigma bahawa peranti buatan China langsung tidak berkualiti tinggi.

Satu inovasi baru disediakan termasuk penyediaan rantai kunci yang bukan saja menjadi alat kawalan untuk menekan ‘shutter’ kamera tetapi mengesan telefon dalam jarak 15 meter radius sekiranya anda tersalah letak. Sudah pasti pengguna mula mengenali produk ini dengan lebih positif.

- Harga ketika mula-mula dikeluarkan: Anggaran RM1,790

- Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 600 Quad Core 1.7GHz

- Skrin: 5.9 inci 1080 x 1920 HD penuh, 377ppi Gorilla Glass 3

- Memori: 16GB/32GB

- RAM: 2GB DDR3

- Rangkaian: UMTS/HSDPA/ HSUPA/HSPA+/HSPA+42 (WCDMA 850/ 900/ 1700/ 1900/ 2100MHz GSM/ EDGE (850/ 900/ 1800/ 1900MHz)

- Sambungan: 802.11a/b/g/n Wi-Fi (802.11n 2.4GHz dan 5GHz), Wi-Fi Direct, Bluetooth, NFC

- OS: Android 4.2 Jelly Bean

- Kamera: 13MP, lampu dwimod LED, Aperture f/2.0

- Bateri: 3610mAh

- Dimensi: 170.7 x 82.6 x 9mm

- Berat: 213g

ONE PLUS ONE

Telefon pintar ini mula menempa nama dengan harga anggaran RM1,000 bagi model 16GB dan RM1,169 untuk model 64GB.

One Plus One akan membawakan konsep jualan secara [online’ dan uniknya hanya pelanggan yang dijemput saja layak membelinya.

- Harga ketika ia mula-mula diperkenalkan: anggaran RM1,000 dan RM1,169

- Setoran: 16GB, 64GB

- Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 801 quad core, 2.5GHz

- Skrin: 5.5 inci LTPS IPS HD penuh, 401ppi

- RAM: 3GB

- Kamera: 13MP, 5MP (depan)

- Bateri: 3100mAh

- Dimensi: 152.9 x 75.9 x 8.9mm

- Berat: 162g

- OS: Cyanogen 11S berasaskan Android 4.4 KitKat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 10:54 AM