Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penantian suatu penyeksaan. Itulah yang dialami B Sathianathan berhubung kemelutnya bersama Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) dengan kes berkenaan diteliti Jabatan Undang-undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mengakui hingga setakat ini masih tiada sebarang berita daripada FAM susulan aduannya itu, pengendali ATM yang direhatkan itu mahu kes berkenaan diselesaikan segera.

“Saya masih menunggu FAM memanggil kedua-dua pihak bagi membincangkan aduan saya itu seterusnya mencapai kata putus.

“Mungkin 17 Jun ini, tapi masih belum pasti lagi. Apapun saya sudah menjawab surat penjelasan dan afidavit kes itu kepada FAM baru-baru ini dan harap dapat diselesaikan segera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, pada 7 Mei lalu bekas jurulatih kebangsaan dan Kelantan itu menyerahkan aduan kepada badan induk bola sepak tempatan itu berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan kurang profesional PBATM yang mengarahkannya berehat selain kegagalan pengurusan pasukan memberi sebarang jawapan berkenaan surat maklum balas dikemukakan jurulatih itu.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai tindakan PBATM merehatkan jurulatih sementara Shahrin Majid walaupun membawa perubahan kepada pasukan, beliau terkejut dan hairan namun berharap The Gladiators kembali fokus apabila saingan Liga Super kembali bersambung nanti.

“Itu cara pengurusan mereka. Jika mereka fikir itu yang terbaik, kira betullah. Saya harap senario terbaru ini tidak mengganggu fokus pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 10:15 AM