BLATTER ketika sidang media di ibu pejabat FIFA di Zurich. FOTO AP

Zurich: Sepp Blatter umum peletakan jawatannya sebagai Presiden FIFA, empat hari selepas dilantik semula bagi penggal kelima.

Blatter, 79, berkata, pemilihan bagi Presiden FIFA baru akan diadakan secepat mungkin.

"FIFA sangat memerlukan penstrukturan semula," katanya.

Blatter memegang jawatan sebagai Presiden FIFA selama 17 tahun dan dilantik semula selepas pencabarnya, Putera Ali al-Hussein dari Jordan menarik diri apabila tewas 133-73 undian pada pusingan pertama.

"Walaupun ahli FIFA memberi mandat baru kepada saya, ia tidak mendapat sokongan ramai dalam dunia bola sepak," katanya.


Beliau membuat pengumuman itu pada sidang media di ibu pejabat FIFA di Zurich, enam hari selepas beberapa pegawai FIFA ditahan apabila pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat menyerbu hotel di sini.

Tujuh pegawai FIFA ditahan termasuk dua naib presiden.

Penahanan itu dibuat bagi pihak pendakwa raya Amerika Syarikat yang menuduh tujuh pegawai itu serta lapan lagi suspek terbabit dalam insiden rasuah sebanyak AS$150 juta (RM552 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 1:53 AM