ANGGOTA JPAM membawa mangsa yang mengalami kecederaan ke Hospital Melaka. FOTO Nor Shafinaz Sari
Oleh Nor Shafinaz Sari

Alor Gajah: Kelindan lori yang berusia 45 tahun maut manakala dua lagi cedera apabila lori yang dinaiki terbabit kemalangan di KM214.8 Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran tol Simpang Ampat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa Nor Azmi Nor Rashid maut di tempat kejadian selepas lori dinaikinya yang dipandu Law Jun Wah, 24, bersama Lim Thiam Leong, 29, dari arah Kuala Lumpur ke Melaka, hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan.

Menurut sumber, mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk kelindan manakala dua lagi rakannya cedera dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, akibat rempuhan itu Lim mengalami parah di kepala serta patah kedua-dua kaki manakala telinga sebelah kanan hampir putus.

"Law yang memandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan di tangan dan berjaya keluar dari kenderaan dibantu orang awam.

"Pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah mengabil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 5:31 PM