MOHAMAD Norza (lima dari kanan) dan Presiden MOM Tunku Imran bergambar bersama penaja.
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Chef de Mission (CDM) negara ke Sukan SEA Singapura Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan isu media dihalang daripada membuat liputan pada sesi latihan membabitkan kontinjen negara, selesai semalam.

Segala-galanya selepas perkara itu dibincangkan pada satu mesyuarat membabitkan semua CDM semalam dengan Malaysia diwakili dua Timbalan CDM iaitu Dr S Shamala serta Peter Chee.

“Semua media kini dibenarkan membuat liputan dengan perlu mendapat kebenaran pengurus pasukan. Segala-galanya sudah selesai,” katanya pada penyerahan tajaan untuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA Singapura semalam.

Jelas Norza, selaku CDM, beliau lebih gemar mengambil pendekatan terbuka kepada setiap media.

“Saya faham kehadiran media cukup penting di Singapura kerana rakyat Malaysia pastinya ingin mengetahui perkembangan semasa atlet negara,” katanya.

Semalam Arena Metro melaporkan mengenai rungutan kumpulan media Malaysia yang mendakwa tidak dibenarkan membuat liputan ketika sesi latihan di beberapa gelanggang Sukan SEA Singapura.

Antaranya wartawan televisyen yang tidak dibenarkan masuk membuat liputan pemain ping pong negara menjalani latihan.

Perkara sama berlaku kepada beberapa wartawan media cetak Malaysia yang ingin menemuramah atlet renang berirama di Pusat Akuatik OCBC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 7:54 AM