DARI kiri, Dr Sabeera, Dr Steven, Dr Henry dan Dr Leong merasmikan buku panduan pengurusan ekzema.
BUKU panduan yang mudah difahami pesakit kecil dan ibu bapa.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Ekzema boleh terjadi akibat interaksi antara faktor genetik dan persekitaran atau tabiat tertentu yang boleh membuatkan rasa gatal serta ruam menjadi lebih teruk.

Ia biasanya terjadi kepada individu yang mengalami asma dan alergi hidung atau mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mendapat penyakit berkenaan.

Ketiga-tiga jenis penyakit berkenaan sering dirujuk oleh doktor sebagai atopi tiga serangkai (atopic triad). Jutaan orang menderita akibat ekzema di seluruh dunia dan masalah berkenaan semakin berkembang terutama dalam kalangan masyarakat bandar.

Ekzema menyebabkan kulit menjadi merah, kering, bersisik dan sangat gatal. Paling membimbangkan apabila masalah berkenaan turut dihidapi kanak-kanak. Diang­garkan seorang daripada setiap lima kanak-kanak mengalami ekzema.

Menurut Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Leong Kin Fon, ekzema boleh dikenal pasti melalui dua ciri iaitu ruam dan kegatalan yang melampau.

“Kulit menjadi sangat kering dan mula gatal sekali gus menyebabkan keinginan untuk menggaru. Apabila menggaru, kulit akan luka dan kawasan berkenaan menjadi sasaran kepada masalah jangkitan.

“Seterusnya, ia mencetus pelepasan bahan kimia yang menyebabkan keradangan dan kulit menjadi rengsa. Akhirnya, kitaran gatal, garu, jangkitan dan keradangan yang teruk akan berlanjutan,” katanya.

Ruam ekzema datang dan pergi. Kebiasaannya, kegatalan akan dirasai terlebih dulu sebelum menyebabkan kewujudan masalah ruam.

Ia bukan hanya memberi kesan kepada kesihatan kulit pesakit tetapi turut mengganggu aktiviti harian dan menghalang mendapat tidur mencukupi pada waktu malam.

Hal ini turut menyukarkan ibu bapa pesakit kecil untuk tidur pada waktu malam kerana masalah kegatalan yang dihadapi si kecil.

“Saya selalu memberitahu pesakit kecil dan kanak-kanak lain bahawa menghidap ekzema adalah seperti berlari maraton. Anda mungkin tidak dapat mencari ubat yang berkesan dalam waktu singkat, tetapi jangan mudah putus asa.

“Teruskan usaha dan satu hari nanti, pasti akan mendapat rawatan yang berhasil untuk diri sendiri. Ini kerana tiada ‘krim ajaib’ yang boleh menyelesaikan masalah dihadapi sebaliknya rawatan kombinasi perlu dilakukan untuk mengatasi ekzema,” jelas Dr Leong.

Justeru, sangat penting untuk mendidik dan memperkasakan pesakit muda, ibu bapa atau penjaga mengenai langkah pengurusan serta penjagaan ekzema yang betul.

Rawatan kombinasi

Rawatan untuk setiap pesakit adalah berbeza dan berubah mengikut usia serta tahap serius masalah ekzema. Ekzema tidak boleh sembuh dengan sekelip mata tetapi ia boleh dikurangkan melalui rawatan dan pengurusan yang betul.

Justeru, pesakit perlu sentiasa dalam keadaan hidrat serta kerap menggunakan krim pelembap dan pengawal, ubat yang disarankan doktor serta mengelak atau menghapuskan faktor pencetus ekzema.

“Krim pelembap membekalkan kelembapan pada kulit di samping memainkan peranan penting dalam me­ngurangkan keradangan ekzema.

“Sesetengah krim pelembap mempunyai ciri khas untuk menangani ekzema di kawasan kulit yang paling gatal. Buat masa ini, krim peranti perubatan adalah ejen terkini untuk membantu menguruskan ekzema secara berkesan,” katanya.

Namun, ibu bapa atau pesakit tidak boleh hanya bergantung kepada penggunaan krim pelembap semata-mata sebaliknya mendapatkan nasihat serta kaedah rawatan kombinasi yang bersesuaian dengan keadaan pesakit.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Terapeutik Serantau Menarini Asia Pasifik Dr Steven Januar Kusmanto berkata, krim peranti perubatan pertama seumpamanya, Atopiclair yang dikeluarkan pada 2011 diterima baik di Malaysia.

“Krim pengawal dan bebas steroid ini mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, tidak mengandungi pewarna, pewangi, paraben dan bukan berasal daripada sumber haiwan.

“Malah, ia juga diuji secara klinikal dan sesuai untuk bayi, kanak-kanak serta pesakit dewasa yang mengalami ekzema ringan atau sederhana.

“Penggunaannya secara berkala dapat membantu menghalang bahagian kulit yang rengsa daripada terus meradang. Ini juga teknik rawatan yang lebih menjimatkan dan berkesan,” katanya.

Menurutnya, merujuk kepada satu kajian terkini yang tersiar dalam Journal of Drugs in Dermatology menunjukkan seorang pesakit dapat menjimatkan sehingga RM3,000 setiap tahun kerana kos perubatannya lebih kecil, penggunaan ubatan sedikit dan peningkatan masa produktiviti berbanding pesakit yang menggunakan pelembap konvensional.

Buku panduan pengurusan ekzema

Menyedari bebanan dihadapi pesakit, ibu bapa dan penjaga, Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) memulakan kempen Pelan Tindakan Ekzema Saya (MyEAP) yang menjurus kepada pengurusan ekzema dalam kalangan kanak-kanak di seluruh negara sempena Bulan Kesedaran Ekzema Kebangsaan (NEZAM) tahun ini.

Menurut Presiden PDM yang juga badan pengasas NEZAM Dr Henry Foong, ‘My Eczema Action Plan: Your Step-by-Step Guide to Managing Eczema’ adalah buku panduan bergambar yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan mudah untuk difahami.

“NEZAM yakin buku panduan itu akan menjadi satu alat berkesan untuk membantu pesakit dan ibu bapa menangani ekzema secara berkesan.

“Ini kerana buku berkenaan disusun mengikut topik bagi memudahkan pesakit kecil dan ibu bapa mempelajari serta mengingati perkara penting bagi menangani ekzema,” katanya.

Dua watak kartun turut diperkenalkan iaitu Nezam sebagai kanak-kanak lelaki comel dan Claire memegang watak kanak-kanak perempuan yang cantik.

Melalui penggunaan kedua-dua watak kartun berkenaan, pesakit kecil berusia lima tahun ke bawah dapat membaca buku panduan itu dengan seronok di samping mempelajari cara menguruskan kesihatan kulit sendiri secara berkesan.

Menerusi buku panduan berkenaan, sistem lampu isyarat yang mempunyai tiga warna zon iaitu hijau, kuning dan merah diperkenalkan untuk membantu pesakit memahami setiap perkara yang perlu dilakukan mengikut

tahap serius ekzema yang dihadapi.

“Ketika berada di zon hijau, kulit kelihatan sihat dan hanya terdapat kerengsaan yang ringan. Apabila pesakit berada di zon kuning, ini bermakna kulit menunjukkan perubahan yang lebih ketara atau gejala lain dan ubat perlu disapu pada bahagian kulit yang bermasalah.

“Zon merah ditentukan apabila gejala ekzema semakin meluas dan keradangan atau jangkitan kulit terjadi, pesakit perlu berjumpa doktor dengan segera,” katanya.

Menariknya, buku panduan berkenaan akan disumbangkan kepada Eczema Kidz Club HKL. Kelab berkenaan mempunyai ahli yang terdiri daripada pesakit ekzema kanak-kanak daripada Institut Pediatrik HKL.

Turut hadir pada majlis pelancaran buku panduan berkenaan, ahli panel pakar NEZAM iaitu Perunding Dermatologi HKL, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim dan Dr Noor Zalmy Azizan serta wakil penaja kempen.

Sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Menarini bekerjasama dengan CARiNG Pharmacy bagi mengumpul dana untuk Eczema Kidz Club.

Mulai Mei hingga September depan, sebanyak RM3 bagi setiap botol losen atau tiub krim Atopiclair yang terjual di farmasi itu akan disumbangkan kepada kelab berkenaan.

Penaja kempen berharap dapat mengumpul sumbangan sebanyak RM10,000 dalam tempoh lima bulan kempen berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 12:01 PM