DR Lee menerangkan pemilihan kasut yang sesuai.
ANTARA selebriti yang menjalani pemeriksaan kaki.

Kaki perlu sentiasa diberi perhatian kerana anggota penting itu mempunyai peranan besar dalam kehidupan seharian iaitu sebagai pelengkap diri, melancarkan pergerakan badan serta menampung berat tubuh.

Antara kaedah menjaga kesihatan kaki adalah melalui pemakaian kasut bersaiz tepat, pastikan ia selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Kira-kira 75 hingga 80 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berkaitan kaki tetapi kebanyakannya enggan mendapatkan khidmat nasihat pakar untuk mengatasi masalah terbabit sehingga ia berlarutan.

Kasut mempunyai kesan cukup besar dalam menampung lutut, sekali gus mampu menentukan tahap kualiti hidup seseorang. Sedikit kesan buruk ke atas kaki boleh memberi kesan besar kepada lutut dan beberapa bahagian badan lain. Ia mengakibatkan bahagian sendi itu sakit dan tidak selesa selain menyebabkan pelbagai masalah kesihatan pada kaki.

Atas faktor itu, pemilihan kasut yang tepat penting kerana ia bukan saja pelengkap gaya, malah menentukan tahap kesihatan kaki seseorang.

Tidak dinafikan kasut antara aksesori fesyen dengan pelbagai gaya kasut yang dicipta walaupun ada antaranya yang tidak praktikal selain membahayakan kaki pemakai.

Kaki menampung berat keseluruhan badan, justeru pemilihan kasut yang salah memberi kesan kepada cara berjalan yang menyebabkan pelbagai masalah lain terutama membabitkan bahagian lutut, pinggul dan tulang belakang.

Bertemu doktor pakar mungkin dilihat sebagai sesuatu yang remeh terutama jika keadaan kaki belum mencapai masalah serius.

Bagi menangani masalah berkaitan kaki, pusat sehenti penjagaan kesihatan kaki, MyOrtho Care Concept Store yang baru dibuka di Mediplex, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) antara lokasi yang menyediakan penyelesaian berkaitan.

Pusat ortotik ini menempatkan individu yang mengalami masalah kaki biasa sehingga kesakitan teruk dan menawarkan penilaian asas untuk tempahan pelapik kasut rekaan khas, kasut ortopedik dan sandal daripada Dr Kong, Schein, Aerex.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyOtho Datuk Dr Edmund Lee berkata, pelbagai masalah kaki antaranya merangkumi masalah melecit, ketumbuhan, kulit kematu, tumit merekah, ibu jari melengkung dan jangkitan kulat.

“Ia berlaku akibat pengabaian, pemakaian kasut sempit dan koyak,” katanya.

Menurut Dr Lee, masalah kaki rata pula sering berlaku apabila lengkung bawah tapak kaki tidak berkembang dengan betul ketika tempoh pembesaran kanak-kanak.

“Ia juga boleh terjadi akibat kecederaan dan menimbulkan masalah pada buku lali dan lutut dengan mengubah kedudukan kaki. Penekanan diberikan terhadap kepentingan pelapik kaki yang direka bagi menyelaraskan kaki dan buku lali pada kedudukan tepat mengikut sistem anatomi,” katanya.

Menurutnya, pelapik kaki itu mungkin kelihatan biasa tetapi ia direka untuk memperbaiki ketidakseimbangan kaki.

“Di Malaysia, ramai yang tidak menyedari kepentingan penjagaan kaki dan melalui pemerhatian saya, ramai individu yang hanya bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan apabila sudah tidak boleh berjalan.

“Lebih teruk apabila mereka bertemu doktor dalam keadaan yang sudah terlalu serius yang memerlukan pembedahan atau suntikan sebagai kaedah rawatan,” katanya.

Pelapik istimewa

Pelapik itu berfungsi untuk mengurangkan tekanan dan menegangkan tubuh dengan mengembalikan posisi kaki pada kedudukan yang betul.

Dr Lee berkata, sebagai contoh penghidap kencing manis sepatutnya perlu memakai kasut khas supaya masalah mereka tidak bertambah buruk dan menyukarkan pergerakan pesakit.

“Kasut untuk pesakit kencing manis perlu dibuat lebih besar dan lembut bagi memastikan keadaan penyakit itu terkawal dan tidak melarat. Justeru, pemilihan kasut dan pelapik yang sesuai amat penting untuk kebaikan kesihatan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 11:55 AM