MAJLIS pelancaran kempen Lakukan Sesuatu Yang Menakjubkan khusus untuk berhenti merokok.
SESI dialog ketika majlis pelancaran kempen.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Merokok bukan saja menyebabkan si perokok mudah dijangkiti pelbagai jenis penyakit, namun lebih membimbangkan apabila individu di sekeliling turut terjebak dengan risiko sama.

Bahan kimia yang dibebaskan asap rokok akan menjejaskan organ dalam badan dan pastinya, ia menambah risiko penyakit berbahaya, malah menyebabkan 10 hingga 12 peratus kematian di Malaysia.

Strok atau angin ahmar amat berkait rapat dengan tabiat merokok akibat kesan nikotin dan merosakkan saluran darah. Dinding salur darah menjadi tebal dan sempit, justeru aliran darah menjadi sukar hingga akhirnya mengakibatkan beberapa bahagian badan tidak dapat bergerak.

Ia bukan saja boleh terjadi kepada perokok namun membimbangkan apabila individu yang rapat terutama ahli keluarga boleh dijangkiti pelbagai penyakit akibat asap rokok.

Secara tidak langsung, perokok menjadi punca tersebarnya penyakit kepada individu yang disayangi terutama kanak-kanak.

Bertindak segera atasi ketagihan

Tinjauan Global Perokok Dewasa (GATS) menunjukkan 80 peratus perokok cuba berhenti merokok tanpa sebarang bantuan. Secara purata, perokok mencuba lapan hingga 11 kali untuk berhenti merokok sebelum benar-benar berjaya sepenuhnya.

Berhenti merokok boleh menjadi suatu perjalanan yang amat sukar kerana perokok perlu menangani pelbagai simptom seperti perasaan cepat gusar, kekecewaan, kemarahan, kebimbangan, selera makan yang meningkat dan kesukaran untuk memberi tumpuan.

Kajian membuktikan, tahap kejayaan untuk berhenti merokok lebih besar sekiranya seseorang itu menerapkan strategi yang berasaskan kepada pencapaian sesuatu matlamat.

Menetapkan matlamat yang realistik khususnya berasaskan kejayaan lalu, merancang dan memberi ganjaran kepada diri sendiri apabila sesuatu matlamat berjaya dicapai turut membantu merealisasikan impian untuk bebas merokok.

Memahami jurang ini, Johnson & Johnson Malaysia melancarkan kempen berhenti merokok bertemakan Lakukan Sesuatu Yang Menakjubkan bagi menggalakkan perokok untuk berhenti merokok.

Kempen itu menyeru perokok untuk segera mengambil tindakan bagi menangani permasalahan ketagihan merokok dengan menetapkan matlamat yang mampu dicapai serta membolehkan mereka memberi tumpuan penuh dan memiliki lebih banyak kawalan ke atas usaha untuk berhenti merokok.

Nikotin boleh menyebabkan ketagihan yang teruk. Ia mudah meresap ke dalam saluran darah apabila produk berasaskan tembakau dikunyah, disedut, atau dihidu. Apabila ia memasuki saluran darah, nikotin merangsang saraf keseronokan di dalam otak dan perasaan seronok yang timbul akibat rangsangan nikotin akan hilang dengan cepat, lantas merangsang perokok untuk mengambil satu lagi dos nikotin.

Lama-kelamaan, perokok menjadi lali terhadap nikotin dan ketagih serta memerlukan lebih banyak nikotin menyebabkan mereka terpaksa mengambil dos nikotin yang tinggi untuk memenuhi keinginan itu.

Apabila perokok cuba mengurangkan atau berhenti merokok, kekurangan kandungan nikotin mengakibatkan simptom penarikan dan disebabkan itu, apabila perokok cuba untuk berhenti, daya ketahanan diri pada minggu pertama menjadi petunjuk penting yang akan menentukan kejayaan masa panjang.

Strategi tepat

Strategi menetapkan matlamat adalah elemen penting yang dapat memberi dorongan secara berterusan kepada perokok untuk berhenti merokok dengan jayanya.

Pelancaran kempen Lakukan Sesuatu yang Menakjubkan ini, turut menjadi pengenalan kepada pelancaran NicoretteÆ Invisi Patch di pasaran.

NicoretteÆ Invisi Patch adalah produk terapi penggantian nikotin (NRT) yang diperbaharui dan boleh diperoleh tanpa memerlukan preskripsi serta direka untuk membantu perokok menangani ketagihan terhadap nikotin. Penyelesaian sehari sekali ini merembes nikotin dalam dos yang terkawal sehingga 16 jam bagi membantu perokok menangani keinginan mereka terhadap nikotin dan simptom penolakan.

Tampalan ini dapat diterima dengan mudah oleh tubuh seseorang perokok dan mempunyai profil keselamatan yang tinggi.

Menurut Pakar Ketagihan Nikotin Universiti Malaya Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin, kebanyakan perokok mengetahui kesan buruk merokok terhadap kesihatan mereka namun tidak berupaya mengawal keinginan untuk menghisap rokok.

“Proses untuk berhenti merokok menampilkan kedua-dua cabaran fisiologi dan psikologi yang mana perokok perlu memahami ketagihan nikotin sebagai satu masalah perubatan. Mereka perlu berunding dengan doktor bagi membolehkan mereka menangani ketagihan mereka terhadap tembakau dengan jayanya.

“Secara umum, masih terdapat keperluan untuk membekalkan perkhidmatan dan rawatan untuk semua perokok, memandangkan hampir separuh daripada perokok pernah mencuba untuk berhenti merokok dalam satu peringkat dalam kehidupan mereka,”ujarnya.

Dr Amer Siddiq berkata, terdapat bukit kukuh menunjukkan NRT berupaya meningkatkan kejayaan seseorang untuk berhenti merokok iaitu 50 hingga 70 peratus.

“Penggunaan NRT untuk berhenti merokok adalah kaedah yang lebih selamat berbanding tabiat merokok yang berterusan. Tahap keselamatan dan keberkesanan Nicorette amat tinggi dan tampalan baru 25mg ini memberikan pilihan rawatan terutama oleh perokok tegar,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Peruncitan Johnson & Johnson Malaysia Stuart Crabb, kajian kerjasama Penilaian Anti Merokok Eropah (CEASE) menunjukkan program pengurangan merokok NicoretteÆ Invisi 25mg PatchTM terbukti 44 peratus lebih berkesan.

“Tampalan 25mg ini juga direka untuk mengurangkan simptom penolakan seperti perubahan perasaan yang teruk akibat daripada penurunan nikotin sejak minggu pertama lagi. Ia direka khas untuk kelihatan tersembunyi melalui teksturnya yang separuh telus,” katanya.

Epidemik global

Penggunaan tembakau dan kesannya terhadap kesihatan seseorang menjadi punca kepada jutaan kematian di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Dunia menganggarkan setiap tahun terdapat lebih lima juta kematian berpunca daripada merokok atau penyakit berkaitan merokok.

Angka tahunan ini boleh meningkat sehingga melebihi lapan juta orang menjelang 2030 sekiranya langkah segera tidak diambil untuk mengawal epidemik tembakau ini.

Kempen Lakukan Sesuatu yang Menakjubkan oleh Nicorette adalah komitmen berterusan Johnson & Johnson dalam usaha untuk menjaga kebajikan dan tahap kesihatan orang ramai.

Aspirasi kempen ini adalah untuk terus mendekati perokok melalui pelbagai jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan. Ia menggalakkan perokok untuk berbincang dengan pakar penjagaan kesihatan profesional mengenai pilihan kaedah sedia ada untuk berhenti merokok, membantu perokok mengharungi waktu yang sukar, memupuk dan membangunkan kekuatan dalaman yang dapat membantu mengharungi perjalanan sukar untuk bebas merokok dan menawarkan sokongan yang sewajarnya apabila diperlukan.

Nicorette berhasrat untuk memupuk jalinan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi melaksanakan program yang menyasarkan golongan profesional penjagaan kesihatan dengan matlamat untuk mempertingkatkan pemahaman dan kemahiran dalam menyampaikan kaunseling berkaitan usaha untuk berhenti merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 11:53 AM