SEORANG wanita menemani anaknya ke sekolah dengan melintasi runtuhan bangunan di Kathmandu, semalam.

Kathmandu: Ribuan kanak-kanak sekolah di Nepal, sebahagian besarnya masih trauma kerana kehilangan anggota keluarga dan kediaman, mula bersekolah semula semalam, beberapa minggu selepas gempa bumi melanda negara itu, menyebabkan lebih 8,600 orang terbunuh.

Di kebanyakan kawasan, kanak-kanak yang berpakaian seragam sekolah berjalan merentasi runtuhan bangunan untuk ke sekolah dan belajar di bilik darjah sementara yang dibuat dari buluh atau di dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang selepas sekolah mereka musnah atau rosak teruk dalam gempa bumi yang melanda 25 April lalu.

“Gegaran selepas gempa masih berlaku. Ia menyebabkan ramai kanak-kanak masih trauma. Sukar untuk meyakinkan mereka bahawa keadaan sudah selamat,” kata seorang penduduk Mina Shrestha.

Ada juga pelajar yang belajar di bangunan yang sudah diperiksa dan ditanda ‘selamat’ oleh jurutera.

Gempa bumi 7.8 magnitud itu merosakkan hampir 8.000 sekolah. Di kawasan paling teruk terjejas seperti Gorkha, Singupalchowk dan Nuwakot, 90 peratus bangunan sekolah musnah.

Penggal baru persekolahan di negara itu sepatutnya bermula 17 Mei lalu, tetapi ditunda selepas satu lagi gempa berukuran 7.4 magnitud menggegarkan Nepal pada 12 Mei.

Bagaimanapun, beberapa sekolah masih ditutup kerana bilik darjah sementara masih dibina di samping kebimbangan yang masih berterusan mengenai keselamatan dan ketiadaan ruang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:12 AM