Oleh Sofyan Rizal Ishak
Sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) mencatatkan peningkatan kelulusan pinjaman sebanyak 169 peratus kepada RM21.5 juta bagi tempoh suku pertama bermula Januari hingga April tahun ini berbanding RM8 juta yang diluluskan pada suku sama tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, pembiayaan itu membabitkan 70 syarikat dan turut menyaksikan kenaikan jumlah syarikat sebanyak 118 peratus berbanding 32 syarikat bagi tempoh masa sama 2014.

“Peningkatan ini menunjukkan tanda positif dalam industri francais di mana kami akan fokus kepada usaha penambahbaikan proses pembiayaan dengan mengutamakan usahawan yang lebih layak bertujuan melahirkan francaisor yang berkualiti,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, PNS memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM55.85 juta membabitkan 302 usahawan atau perniagaan pada tahun lalu melalui tiga skim pembiayaan iaitu francaisor/pra-francais, francaisi/pra-francaisi dan usahawan di bawah Perniagaan Dalam Transformasi (BIT).

“Dana pembiayaan bagi skim francais yang ditawarkan oleh PNS ini diperoleh daripada sumber dalaman kami sendiri,” katanya.

Pada tahun ini, PNS menyasarkan jumlah pembiayaan antara RM60 juta dan RM70 juta bertujuan membantu usahawan untuk mengembangkan perniagaan francais membabitkan 320 usahawan di seluruh negara khususnya sektor makanan dan minuman yang dijangka kekal menjadi sektor utama dengan penguasaan kira-kira 50 peratus berbanding 35 peratus pada tahun lalu.

Ketika mengulas mengenai impak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada industri francais, Syed Kamarulzaman berkata, tidak semua usahawan PNS terkesan dengan cukai terbabit kerana ia hanya membabitkan perniagaan dengan jualan RM500,000 ke atas saja.

Menurutnya, Malaysia turut menghadapi senario yang sama seperti Singapura dan Australia ketika perlaksanaan GST di negara masing-masing di mana jualan runcit serta perniagaan mengalami penurunan dalam masa tiga hingga enam bulan berdasarkan kajian dijalankan Bahagian Strategik Korporat PNS.

Beliau berkata, PNS menekankan pendedahan ilmu kepada usahawannya dalam menghadapi GST dengan menganjurkan kerjasama, sesi penerangan dan perkongsian maklumat mengenai GST membabitkan agensi kerajaan untuk memberi kesedaran mengenai pelaksanaan dan implikasi GST serta memastikan pendaftaran GST dilakukan betul bagi memudahkan tuntutan rebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 6:46 AM