ERL terus membangunkan perniagaan melalui penambahbaikan disasarkan.

Kuala Lumpur: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) merangkul gelaran ‘North Star Air Rail Link of The Year’ sekali lagi pada Anugerah AirRail Global 2015 di Toronto, Kanada pada 21 Mei lalu apabila ia pengiktirafan kali ketiga ERL sebagai pemimpin dalam kalangan peneraju global.

Kemenangan pertama diraih pada 2012 manakala kedua pula pada 2014 dan dalam masa sama, ERL turut memenangi Kempen Pemasaran Tahunan Terbaik pada tahun ini melalui kempen pelancaran KLIA2 Services Extension.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noormah Mohd Noor berkata, kemenangan sekali lagi itu pasti memberi rangsangan dan motivasi kepada syaikat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang ERL.

“Walaupun industri pelancongan mencabar tahun lalu, kami mencapai hasil ketara sejak lanjutan perkhidmatan ke KLIA2 pada Mei lalu apabila kami mencatatkan peningkatan pertumbuhan penumpang keseluruhan sebanyak 32 peratus tahun lalu apabila ia tertinggi dalam sejarah 13 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ERL terus membangunkan perniagaan melalui penambahbaikan disasarkan dan tindak balas kepada perubahan asas.

Anugerah Global AirRail dianjurkan Pakatan AirRail Global (Gara), organisasi industri berpangkalan di London dan disertai pengendali kereta api, lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pembekal dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 6:29 AM