MARSHA
MARSHA bersama Yasmin Hani.
ANAK hasil perkahwinan harimau jadian dan pontianak lakonan Amelia dan Sean yang bertukar menjadi harimau pada waktu malam
WAJAH Marsha disolek tebal supaya nampak putih dan pucat.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Kerjaya seni Marsha Milan Londoh, 29, penuh warna warni tahun ini apabila satu demi satu rezeki hadir tanpa henti.

Selain sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Keluarga Pontimau terbitan Film Scape Production untuk slot Aksi TV3, Marsha juga bakal muncul dengan single Ku Tinggalkan Cinta ciptaan Amor Rizan.

Ia juga akan digunakan sebagai lagu runut drama bersiri arahan Amor Rizan, Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa yang dijangka disiarkan Jun ini.

Selain itu, pelakon asal Sabah ini berjinak-jinak dengan bisnes fesyen dengan memperkenalkan cekak rambut MM by Marsha dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Bagi Marsha, Keluarga Pontimau cukup menarik kerana ia drama fiksyen dihasilkan dengan teknologi animasi 3D dan bakal disiarkan menerusi slot Aksi di TV3 pada Oktober nanti.

Bagaimana jika anda mempunyai keluarga pelik? Bukan saja mempunyai rahsia tersendiri yang sedaya upaya disimpan agar tidak diketahui orang luar, malah terpaksa pula melayan kerenah ahli keluarga yang seribu satu hal.

Begitulah gayanya cerita dalam drama bersiri terbaru arahan Kabir Bhatia dan Labu ini. Sekali imbas, Keluarga Pontimau adalah siri aksi komedi yang diinspirasi daripada drama Adam’s Family dan watak dalam filem Twilight.

Walaupun didakwa tidak sama, drama bersiri 13 episod itu cuba menampilkan sudut berbeza melalui komedi ringan dan mesej kekeluargaan yang agak kuat.

SELEBRITI berpeluang berkunjung ke lokasi penggambaran drama itu di Taman Rimba Komanwel, baru-baru ini. Selain Marsha, turut menjayakan drama ini ialah Esma Danial, Julia Ziegler, Yasmin Hani dan Kismah Johar serta pelakon muda, Amelia Handerson, Sean Lee Jia Ern, Nurul Fatihah Ali, Mohd Jaslin Puasa, Jasmine Suraya Chin dan Akhmal Nazri.

Keluarga Pontimau terdiri daripada ayah, Eddie iaitu harimau jadian manakala ibu, (Elvira) adalah puntianak dan mereka mempunyai dua anak kembar, Sabrina dan Joe (Sean) serta Baby George. Setiap episod mempunyai cerita dan mesej mengenai nilai kekeluargaan.

Kata Marsha, selain keunikan ceritanya, dia tertarik dengan drama ini kerana memberi cabaran baru buatnya apabila perlu disolek tebal untuk menjayakan wataknya sebagai puntianak.

Pernah memegang watak puntianak dalam telefilem Pontianak Kampung Batu sebelum ini, Marsha juga perlu memakai rambut palsu dan disolek tebal supaya wajahnya sentiasa nampak putih dan pucat.

Biarpun terpaksa berdepan dengan solekan berjam-jam, Marsha tidak kisah kerana ia adalah satu pengalaman yang perlu dilalui sebagai anak seni yang mahukan hasil berkualiti.

Katanya, dia perlu mengambil masa satu hingga dua jam untuk disolek oleh jurusolek profesional dan ia bukan waktu mudah buat dirinya dan jurusolek.

Marsha juga perlu melalui kesukaran di lokasi apabila perlu memakai gigi taring palsu untuk babak bertukar kepada puntianak.

“Gigi itu bukan gigi palsu biasa, sebaliknya perlu dilekatkan dengan sejenis gam khas supaya nampak ‘natural’. Masalahnya apabila perlu mengenakan gigi palsu itu, saya rasa seperti tahi gigi yang melekat akibat lama tak gosok gigi.

“Saya juga perlu mengenakan kanta lekap berwarna untuk menghidupkan watak puntianak walaupun saya sebenarnya tidak pernah mengenakan kanta lekap sebelum ini,” katanya ketawa.

Pelakon dan model jelita, Amelia pula memegang watak Sabrina dan turut mengenakan solekan khas terutama apabila wataknya bertukar menjadi harimau comel pada waktu malam.

Kata Amelia, walaupun terpaksa mengenakan solekan setiap kali babak malam, dia tidak kisah kerana bekerja dengan pasukan produksi hebat.

“Ikutkan drama ini yang pertama saya lakonkan selepas lama menyepi daripada dunia lakonan. Apabila berada di set ini, saya tidak sangka semua pelakon dan kru mempunyai sikap ‘gila-gila’ dan bekerja seperti satu keluarga.

“Saya akui sangat selesa dan mereka (pelakon dan kru) banyak membantu untuk membuatkan setiap perjalanan babak licin,” katanya gembira.

Keluarga Pontimau mengisahkan Rayyan, penulis novel yang baru berpindah ke satu kawasan perumahan mengalami masalah menyiapkan bukunya. Suatu hari sedang duduk di tepi tingkap biliknya, dia tertarik dengan tingkah laku satu keluarga tidak jauh dari rumahnya.

Bapanya nampak kuat tetapi apa yang dibuat serba tidak kena, ibunya kelihatan elegan tetapi sedikit gila-gila manakala anak-anaknya sering mengguling mata melihat telatah ibu bapa mereka.

Telatah keluarga berkenaan memberi idea kepada Rayyan menyiapkan bukunya.

Sementara itu Kabir berkata, pemilihan barisan pelakon bukan Melayu dan Islam dipilih kerana ingin menjaga sensitivi watak dilakonkan.

Katanya, setiap watak utama perlu memegang karakter khayalan seperti pontianak, harimau jadian dan kacukan kedua jenis makhluk itu.

Kabir sedar masyarakat Melayu terutama penonton kita amat sensitif apabila melihat pelakon Melayu memegang watak yang dianggap tidak sesuai dengan budaya bangsa.

Kabir dan Labu yang sama-sama mengarahkan drama ini gembira kerana walaupun terdapat kekangan dari segi perletakan watak pada pelakon, industri hiburan mempunyai ramai bakat baru dan lama yang boleh membawa watak sensitif seperti ini.

Selepas berjaya mendapatkan pelakon memegang watak Eddie dan Elvira, penerbit membuka sesi uji bakat untuk pelakon baru memegang watak Sabrina dan Joe yang dipegang Amelia dan Sean.

Produksi juga membuka peluang kepada muka baru dan lama mengisi watak dalam drama bersiri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:08 AM