HIDANGAN ikan patin tempoyak.
MENGUJAKAN hidangan ikan kelah goreng.
FIDA juga menggemari hidangan ikan sungai.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Hidangan ikan sungai restoran Samudra Exotic River Fish di Kampung Baru, Kuala Lumpur milik tiga beradik ini sangat membangkitkan selera.

Mana tidaknya, keluarga Hamizatun Hamzah, Hishammuddin dan Kamarul Ariffin ini berpengalaman luas hampir 30 tahun dalam penyediaan menu ikan sungai sejak bapa mereka membuka sebuah restoran di Pahang.

Masakan gulai ikan patin tempoyak bersama padanan sayur kampung seperti pucuk paku dan tiga pilihan ikan sungai digoreng rangup memang mengasyikkan dengan keharuman aroma baunya.

Sebaik dimakan, tiada bau hanyir serta rasa isi ikan manis dan segar, menonjol apabila digandingkan bersama sambal tempoyak dan ulam. Ini menjadikan set menu berkenaan sangat sempurna. Malah ikan goreng disediakan begitu enak diratah begitu saja dari bahagian ekor hingga ke kepala.

Segi pengendalian setiap hidangan pula, biarpun ia hidangan kampung yang biasa disediakan di rumah, hidangan disajikan kemas dan menyelerakan. Rasa setiap masakan itu semuanya secukup rasa daripada segi pedas, masin mahupun masamnya.

Jelas Kamarul Ariffin Pengarah Urusan restoran, hidangan selera kampung di restorannya berupaya mencapai standard itu kerana setiap masakan dipantau kemas dan konsisten mutu rasanya agar resipi warisan orang tuanya dapat dikekalkan.

“Ramai kenalan sekolah yang pernah makan masakan bapa saya di Pahang mengakui mereka turut merasainya pada hidangan yang kami sediakan. Ada sanggup datang ke Kuala Lumpur semata-mata ingin mengimbau nostalgia zaman kecil mereka dengan menikmati hidangan di sini.

“Ia hidangan rumah tetapi pengendaliannya bertaraf restoran. Resipi kami sediakan untuk setiap hidangan adalah asli dan ‘air tangan’ bapa kami kini diwarisi adik-beradik terutama kakak saya, Hamizatun selaku chef utama.

“Kami sendiri merasa hidangan bagi memastikan rasa yang terdapat pada hidangan sama turun-temurun,” katanya.

Mengenai kualiti penyediaan, Kamarul berkata, semua hidangan itu hanya disediakan setelah dipesan.

“Tiada kompromi dalam penyediaan hidangan kerana kami mahu pelanggan dapat menikmati hidangan segar serta panas.

“Setelah dipesan barulah chef menyediakannya. Selain itu kami turut menggunakan ikan segar dihantar pembekal dari Pahang,” katanya.

Mengenai harga setiap menu, Kamarul berkata, ia mengikut jenis ikan dan saiz ikan itu sendiri.

“Harga mengikut pasaran dan sudah tentunya peminat ikan su­ngai terutama mereka yang meminati hidangan tradisi arif dengan kualiti ikan di restoran kami,” katanya.

Restoran berkenaan turut mendapat kunjungan orang ternama termasuk Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang meminati hidangan tradisi Pahang.

Fida selera ratah patin, kerai

Tidak sangka penyanyi dan pelakon drama Sejadah Cinta, Fida Ibrahim gemar makan ikan sungai. Dia yang menemani penulis di restoran Samudra Exotic River Fish, Rumah Rohas Kampung Baru, tidak kekok menikmati ikan sungai berkenaan.

Katanya, dia teruja dapat menyertai sesi ulasan restoran berkenaan kerana menggemari rasa lemak manis isi ikan sungai serta menu kampung berkenaan.

Meskipun ikan sungai terkenal risiko ‘tercekik tulang’ kerana tulangnya berbentuk Y, pelakon itu tidak menghadapi kesukaran memakannya.

“Saya memang menggemari hidangan ikan patin masak tempoyak dan ikan kerai goreng. Langsung tiada bau hanyir selain rasa hidangan secukup rasa masin, masam serta pedasnya.

“Malah ikan goreng disediakan besar dan sedap meratahnya. Memang Fida selesa dengan hidangan disediakan kerana ia masakan kampung biasa Fida makan,” katanya.

Menurut Fida, ruang restoran juga luas serta sesuai untuk mereka datang bersama keluarga atau kenalan, malah terdapat ruang khas sesuai untuk majlis mahupun jamuan yang kecil.

“Menarik mengenai restoran ini, ia ada ruang peribadi yang tertutup boleh digunakan. Ia sesuai untuk meraikan majlis seperti sambutan hari lahir mahupun jamuan kecil,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini selaku selebriti, Fida berkata, dia memperlahankan rentak seketika selepas dipalit dengan beberapa kontroversi.

Akur dengan resam sebagai artis, Fida tidak serik tetapi lebih berhati-hati mengatur kerjaya seninya.

Katanya, dia masih berlakon dan turut diundang merakam lagu baru oleh komposer tempatan.

“Projek terkini ialah saya bakal muncul dalam telefilem hari raya bertajuk Edris MLM arahan Mamat Khalid selain drama bersiri Setulus Janji.

“Malah saya bakal merakamkan dua lagu iaitu satu daripadanya lagu duet bersama Ajai, manakala lagu kedua pula ialah kesinambungan ‘Apo Kono Eh Jang’,” katanya turut ligat mengusahakan butik kanak-kanak Tiny Quay di Alam Avenue , Seksyen 16 Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:05 AM