BENTUK lebih mantap.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Lebih sembilan tahun bertahan dalam segmen trak pikap, akhirnya generasi terbaru Mitsubishi Triton dilancarkan di negara ini pada minggu lalu.

Kehadiran model itu boleh dikatakan lewat berikutan masyarakat tempatan terpaksa menunggu lebih enam bulan selepas pelancaran secara global pada November tahun lalu di Thailand.

Namun, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menjangka bahawa model generasi kelima trak pikap yang dikeluarkan oleh Mitsubishi Motors tetap mempunyai impak dengan menyasarkan jualan sehingga 900 unit sebulan, sekali gus mahu menguasai 20 peratus pasaran segmen berkenaan di negara ini.

Apa yang membezakannya, Mitsubishi Triton itu dibangunkan menggunakan konsep ‘Trak Utiliti Sukan Terhebat’, menggabungkan keselesaan ruang dalaman kereta penumpang dengan fungsi keupayaan sebuah pikap.

Rekaan hadapan diserlahkan jeriji yang bersambung dengan lampu hadapan sekali gus menerbitkan gambaran tiga dimensi pada bonetnya. Malah, reka bentuk itu memberi kecekapan heretan terendah iaitu 0.42.

Sekiranya melihat pada bahagian tepi, ia memiliki reka bentuk moden dengan garisan ‘J’ di antara kabin dan bahagian belakang untuk memaksimumkan ruang dalaman serta menyediakan kapasiti kargo yang besar.

Dimensi ruang dalaman dinaik taraf dengan peningkatan 20 milimeter (mm) bagi kelegaan kaki, manakala lebih 10 mm bagi ruang bahu.

Mitsubishi Triton turut menetapkan standard baru dalam segmen pikap dengan menjadi model pertama dilengkapi butang penghidup enjin tanpa kunci dan lampu hadapan Xenon HID yang disepadukan lampu siang.

Bagi varian tertinggi iaitu Mitsubishi Triton VGT Adventure, ia mempunyai banyak kelebihan dengan penukaran gear di sebalik stereng, selain sistem pengesan automatik lampu hadapan dan pengelap cermin.

Model diimport dari Thailand itu menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) yang dipertingkatkan. Ia menghasilkan kuasa maksimum sehingga 178 PS pada 4,000 rpm dan tork mencecah 400 Nm pada 2,000 rpm. Kuasa tork itu lebih tinggi sehingga 50 Nm berbanding model sebelum ini untuk memberikan prestasi lebih kuat.

Selain itu, MMM menawarkan Mitsubishi Triton Quest 4X2 menggunakan enjin 2.5 liter turbo diesel yang menghasilkan 110 PS dan tork setinggi 200 Nm.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Yang Won-Chul berkata, Mitsubishi Triton adalah model paling laris bagi Mitsubishi Motors Malaysia sejak dilancarkan pada 2006 dan dijual melebihi 56,000 unit di seluruh negara.

“Sebelum pelancaran, kami menerima 2,000 tempahan sejak ia dibuka 1 April lalu dan membuktikan jentera itu memberi nilai terbaik kepada pemiliknya.

“Malah, Mitsubishi Triton ditawarkan dua tahun penyelenggaran percuma dan tempoh jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer. Trak pikap itu menawarkan lima varian, manakala spesifikasi tertinggi iaitu Triton VGT Adventure transmisi automatik dijual RM108,273.68 atas jalan, tidak termasuk insurans.

INFO

MITSUBISHI TRITON VGT ADVENTURE

- ENJIN: 2.5 L DOHC, VGT dengan Intercooler

- KUASA MAKSIMUM: 178 PS pada 4,000 rpm

- TORK MAKSIMUM: 400 Nm pada 2,000 rpm

- TRANSMISI: Lima kelajuan automatik dengan mod sport

- KAPASITI BAHAN API: 775 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:04 AM