Oleh Ustaz Haslin Baharin

Adakah solat yang dilakukan individu itu diterima Allah SWT, walaupun pada masa sama melakukan maksiat? Mohon penerangan.

Pemuda, Cheras

Sudah pasti solat yang didirikan mampu mencegah seseorang daripada melakukan perkara keji dan mungkar.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud; “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah SWT adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (surah al-Ankabut, ayat 45 )

Oleh itu maksiat yang dilakukan bukanlah salah pada solat itu sendiri yang dijamin boleh menghindarkan seseorang daripada maksiat. Masalah adalah pada pelaku solat itu, adakah melakukan solat dengan mengikut kehendak Allah SWT?

Maka penambahbaikan pada solat seperti cara berwuduk, khusyuk dalam solat, menepati waktu solat pada awal waktu, secara berjemaah, menjaga pergerakan solat sehingga kepada setiap rukun dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Umpama seorang yang memakan ubat tetapi tidak juga sembuh-sembuh daripada penyakitnya, bukanlah masalah pada ubat. Maka kemungkinan kaedah pemakanan dan pantang larang yang tidak dijaga menyebabkan penyakit tidak sembuh.

Dalami ilmu solat dan ibadat yang lain kerana semua ibadat diperintahkan Allah sudah pasti mempunyai hikmah serta faedah di dunia dan akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 12:51 AM