Oleh Ustaz Haslin Baharin

Bagaimanakah cara melakukan sujud sahwi yang betul?

Jika terlupa untuk melakukan sujud sahwi itu, apakah yang perlu dilakukan dan adakah ia menjejaskan solat berkenaan?

Farhana, Sg Petani

Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan apabila berlaku sebarang kelalaian dalam solat secara tidak disengajakan.

Hukumnya sunat, sebagaimana dilakukan Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud; “Apabila seorang daripada kamu sekalian ragu-ragu dalam solatnya, yakni tidak pasti sudah berapa rakaatkah ia solat, tiga atau empat, maka hendaklah ia membuang keraguan itu, dan peganglah pada apa yang dia yakini, kemudian bersujudlah dua kali sebelum salam.

“Jika ternyata dia solat sudah lima rakaat, maka rakaat-rakaat itu menggenapkan baginya pahala solatnya.

“Dan jika ternyata dia solat benar-benar empat rakaat, maka dua sujud itu adalah penghinaan terhadap syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, setiap perkara yang terlalai dalam solat, disunatkan sujud sahwi. Seperti menambah sesuatu dalam solatnya, atau mengurangkan sesuatu dalam solatnya atau ragu-ragu dalam solatnya. Sah solat jika tidak melakukan sujud sahwi, namun ia bercanggah dengan sunah Rasulullah.

Jika sesuatu yang terlalai atau tertinggal itu adalah rukun wajib, hendaklah dia melakukan semula rukun yang tertinggal kemudian meneruskan solat seterusnya dan melakukan sujud sahwi sebelum salam. Jika tidak melakukan perkara rukun maka solat menjadi batal.

Apabila sudah pasti anda perlu melakukan sujud sahwi, maka sujudlah selepas membaca tahiyat akhir atau lebih tepat lagi iaitu sebelum salam sebanyak dua kali dengan bacaan yang dibaca ketika sujud dan duduk di antara sujud.

Terdapat juga bacaan yang dianjurkan oleh Imam An-Nawawi sebagaimana yang dimaklumi. Kemudian memberi salam seperti biasa.

Jika teringat untuk melakukan sujud sahwi selepas salam, maka boleh juga dilakukan seketika itu juga dan memberi salam semula. Ia boleh dilakukan selagi tertinggalnya dalam tempoh yang sangat singkat. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 12:50 AM