Kenny (kiri) menunjukkan model bangunan MyTOWN.

Kuala Lumpur: Boustead Holdings Bhd dan Ikano Pte Ltd bakal membuka secara rasmi pusat membeli-belah MyTOWN pada akhir 2016 yang menjanjikan aktiviti ekonomi bagi komuniti di Cheras, Ampang dan sekitarnya.

Pusat beli-belah itu mempunyai keluasan 1.1 juta kaki persegi yang menyediakan 460 ruang niaga dan diuruskan kedua-dua syarikat berkenaan menerusi Boustead Ikano Sdn Bhd.

Pengurus Besarnya, Kenny Chin berkata, bangunan itu yang mempunyai lima aras ruang peruncitan menyediakan pelbagai segmen perniagaan kepada pengunjung antaranya kelengkapan rumah, makanan, fesyen dan hiburan.

Beliau berkata, MyTOWN yang terletak di Jalan Cochrane berpotensi menarik lima juta pengunjung memandangkan ia berada lokasi berhampiran kawasan lebuh raya utama dan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Apabila stesen aliran transit massa (MRT) siap pada 2017, orang ramai boleh mengunjungi MyTOWN dengan pengangkutan awam ini memandangkan terdapat laluan terowong yang boleh diakses pengguna antara MRT dan pusat membeli-belah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:28 AM