Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Trend peningkatan penyertaan Bumiputera Islam dalam sektor perkhidmatan rundingan hartanah di negara ini dilihat melonjak dengan pesat iaitu kira-kira 50 peratus daripada jumlah keseluruhan perunding hartanah di negara ini sejak lima tahun lalu.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Ishak Ismail berkata, perkembangan positif itu menunjukkan minat mereka terhadap bidang berkenaan semakin meningkat jika dibandingkan 10 hingga 15 peratus beberapa tahun dahulu.

“Sehingga kini, terdapat 40,000 perunding hartanah di negara ini dan separuh daripada jumlah ini adalah terdiri daripada perunding hartanah Muslim iaitu kira-kira 20,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, Peham kini cuba untuk mendaftarkan 20,000 ejen dan perunding hartanah Muslim di seluruh negara memandangkan ia baru sahaja ditubuhkan pada Mei tahun lalu dengan penyertaan kira-kira 200 orang sehingga kini.

“Saya lihat perkara ini akan melengkapkan lagi industri hartanah tempatan dan memberi pilihan lebih baik kepada pembeli rumah Muslim yang pada masa kini memiliki pembiayaan rumah Islam dan insurans perlindungan hartanah Islam,” katanya.

Beliau berkata, Peham cuba menyakinkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pemaju tempatan untuk menggunakan rangkaian perunding hartanah Muslim bagi melariskan jualan rumah dan membantu umat Islam dalam mendapatkan rumah terbaik yang akan ditapis dahulu oleh persatuan.

“Sebagai contoh, lazimnya pihak kami memiliki maklumat mengenai rumah kuota Bumiputera yang belum dijual meskipun dimaklumkan pemaju ia habis dijual dan kelebihan ini akan digunakan kami untuk membantu individu Bumiputera Muslim.

“Selain itu, kami juga menawarkan perkhidmatan percuma kepada pembeli rumah pertama atau mereka yang ingin melakukan pelaburan hartanah melalui klinik dan seminar yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh ahli-ahli Peham,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kesedaran orang ramai terhadap penggunaan perkhidmatan rundingan hartanah berlandaskan syariat masih berada pada tahap awal, namun Peham sedang berusaha untuk mewujudkan kesedaran kepada orang ramai melalui aktiviti promosi di media elektronik dan cetak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:07 AM