Tempat kejadian mangsa ditikam. FOTO Amrullah Abdul Karim
Oleh Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my

Bukit Beruntung: Seorang peniaga kedai runcit parah ditikam di dada kiri selepas disamun di rumahnya di Pangsapuri Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, 4.30 pagi tadi.

Mangsa, Shaifullah Elias, 35, dikatakan baru keluar dari rumahnya di tingkat dua pangsapuri itu untuk ke Pasar Borong Selayang membeli barangan basah.

Sejurus ditikam, mangsa terbaring di lorong kaki lima tingkat satu pangsapuri terbabit dalam keadaan berlumuran darah.

Jeritan mangsa yang meminta tolong didengari penduduk sebelum mereka membawanya ke Hospital Kuala Kubu Bharu. 

Rakan mangsa, Fakhruldin Sulaiman, 21, berkata, suspek merampas beg yang dibawa Shaifullah yang di dalamnya mengandungi wang tunai RM1,500.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 4:53 PM