KHAIRY (tiga dari kiri) menerima cenderahati selepas majlis pelancara.
ANTARA aktiviti di majlis pelancaran.
SOKONGAN penuh daripada atlet .

Basyar Mustapha sokong penuh usaha untuk menjaga alam sekitar dan berpendapat anak muda sememangnya boleh memulakan revolusi ini.

Sedar atau tidak bekas membungkus makanan seperti styrofoam yang selalu digunakan dalam kehidupan seharian sangat membahayakan alam sekitar.

Dalam jangka masa panjang ia boleh memberi kesan secara fizikal atau kimia terhadap bumi, malah kehidupan di atasnya.

Namun, belia sekarang yang semakin bijak menilai boleh memainkan peranan penting dalam bersama-sama berusaha menjaga alam sekitar dan kesihatan bumi dengan mengurangkan atau tidak langsung menggunakan bahan ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada pelancaran kempen Belia Katakan Tidak Pada Styrofoam di Karnival Belia Putrajaya yang berlangsung baru-baru ini berkata, ketika ini belia harus mengamalkan gaya hidup mampan untuk penjagaan alam sekitar yang kita diami.

“Belia kita boleh menjadi penggerak dan peranan penting yang membawa perubahan pemikiran dan idea inovasi ini,” katanya ketika berucap di khemah pameran Eco Launch Box ‘EcoBento’.

Secara global, semakin banyak jenama dan perniagaan yang sedar tentang kepentingan menjaga bumi dalam berniaga dan mula memastikan amalan mereka selaras dengan usaha murni itu.

Menurut jurucakap Eco Bento, Sheikh Nizha Mudeen penggunaan bekas makanan yang mesra alam sekitar adalah salah satu langkah baik dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Bekas makanan Ecobento dihasilkan Ideal Color Press Sdn Bhd misalnya dihasilkan dengan sumber yang mampan dan tidak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Ia boleh mengurangkan penggunaan bahan tidak dihapuskan secara semulajadi seperti plastik dan bekas styrofoam,” katanya.

Ia juga boleh memberi kesan positif kepada pengurusan bahan buangan yang sering menjadi isu yang berlarutan.

Acara pelancaran kempen berkenaan pada festival dihadiri lebih 500,000 pengunjung itu turut dihadiri ikon sukan negara seperti pelari Norsheela Khalid , pemain bola sepak S Subramanian, atlet lompat tinggi Navraj Singh Randhawaand dan pelari jarak jauh Lo Choon Sieng.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 2:07 PM