SAFRY Kamal (tiga dari kanan) menunjukkan Tugu
MOHAMAD Jahari menunjukkan kaki kanannya yang hampir putus akibat terkena jerangkap samar komunis .
Oleh DJ Dolasoh
rencana@hmetro.com.my

"Saya hanya ingat mati ketika itu apabila besi rim tayar lori Jabatan Kerja Raya (JKR) yang saya bawa tertusuk ke paha kiri sehingga menembusi punggung sejurus terdengar letupan kuat dari jerangkap samar komunis.

"Kaki kanan bahagian depan hampir putus sehingga tubuh dipenuhi darah menyebabkan saya terkulai di tempat duduk pemandu. Kejam sungguh komunis," kata Mohamad Jahari Kadir.

Mohamad Jahari, 77, dari Kampung Padang Rengas, Kuala Kangsar antara mangsa kezaliman komunis yang hampir meragut nyawanya ketika berkhidmat sebagai pemandu lori JKR di Gerik, Perak.

Mengimbau tragedi kira-kira jam 12 tengah hari pada 13 Jun 1974 di Kampung Air Banun, Banding, kira-kira 90 kilometer dari Gerik ketika dalam perjalanan dari tempat penginapan di Kem Induk, Gerik ke tempat kerjanya.

Katanya, apabila pencen daripada anggota tentera pada 14 Januari 1971 selepas berkhidmat selama 14 tahun, dia bekerja di JKR sebagai pemandu lori bagi mengangkut barangan keperluan untuk membina Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik ke Jeli, Kelantan sejauh kira-kira 123 kilometer.

"Rakan sekerja dikenali sebagai Alias yang duduk di sebelah saya ketika itu turut cedera manakala enam lagi rakan di belakang lori terselamat membolehkan mereka mengusung saya yang separuh sedar.

"Saya rasa hampir mati ketika itu sebelum terus diterbangkan dengan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya ditemui pada majlis di Tugu Peringatan Kakitangan JKR, Gerik, Perak baru-baru ini.

Menurutnya, kekejaman komunis amat nyata kerana ekoran tragedi itu dia terlantar di hospital selama tiga bulan dan keluar sebagai seorang hilang upaya kekal 70 peratus dengan memegang kad orang kelainan upaya (OKU).

Dia yang berkhidmat dengan JKR dari Jun 1972 sehingga Mei 1992 selama hampir 20 tahun itu turut terkejut apabila tiga rakannya dikenali sebagai Ismail, Husin dan Ali terkorban apabila lori yang mereka naiki diserang hendap komunis pada 27 Ogos 1974.

"Apa salah kami yang membina jalan JRTB untuk kemudahan orang ramai itu diperlakukan komunis dengan membunuh pekerja JKR tanpa sebab? Mungkin kerana nafsu mahu memerintah negara secara kekerasan dan senjata.

"Saya dan keluarga rakan yang terkorban tidak halalkan kekejaman komunis meskipun setitik darah kami yang tumpah apa lagi nyawa keluarga yang hilang sehingga ke akhir hayat kami," katanya.

Katanya, komunis juga sanggup meletupkan 63 jentera berat yang diguna untuk membina jalan raya JRTB pada 23 Mei 1974 sehingga membantutkan sebahagian kerja pembinaan jalan berkenaan.

Peristiwa pahit menimpa kakitangan JKR itu menyebabkan jabatan itu membina Tugu Peringatan Kakitangan JKR di Batu 11, JRTB Gerik-Jeli.

"Saya dan bagi pihak puluhan rakan lain merayu pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi elaun kecederaan di atas jasa kami itu," katanya yang kini menghidap kencing manis, darah tinggi dan Parkinson selain isterinya, Safiah Ngah Mohd Yusof, 77, turut mengalami penyakit hampir sama.

Mohamad Jahari bersyukur kerana jasanya bersama 12 rakan terus mendapat perhatian pihak atasan JKR Perak dengan menerima sumbangan sempena Kemerdekaan Negara Ke-57 lalu.

Program lawatan sempena kemerdekaan negara ke lokasi tugu berkenaan dan penyampaian sumbangan kepada 12 kakitangan JKR itu disempurnakan Pengarah JKR Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad.

Safry Kamal berkata, kegigihan kakitangannya membina jalan raya JRTB tanpa menghiraukan ancaman nyawa adalah demi kemudahan kepada orang ramai dan kemakmuran negara.

"Alhamdulillah, pengorbanan kakitangan JKR itu membolehkan orang ramai memandu ke destinasi utara dan pantai timur dengan cepat serta selesa apabila jalan JRTB yang dibina pada 1972 itu dibuka 1 Januari 1982," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:02 AM