Kuala Lumpur: Seperti diduga, calon kerusi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang juga mantan presiden badan induk itu Datuk Seri Shahidan Kassim, (gambar) menarik diri daripada bertanding merebut jawatan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berlangsung di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok.

Berikutan penarikan diri Shahidan itu, jawatan nombor satu KOM itu bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan Timbalan Presiden semasa Datuk Wan Hisham Wan Salleh menentang bekas Timbalan Presiden Datuk Karim Ibrahim.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, alasan utama beliau menarik diri berpunca daripada peraturan yang menetapkan menteri Kabinet tidak boleh memegang jawatan dalam persatuan sukan.

“Saya tidak bertanding kerana menghormati keputusan Kabinet yang tidak mahu mana-mana anggotanya memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan.

“Jika dirujuk Akta Sukan, ia sebenarnya tidak melarang, cuma itu inisiatif Kabinet untuk menimbulkan pandangan negatif masyarat apabila menteri memegang sesuatu jawatan,” katanya ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Kabinet pada 2007 di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menetapkan peraturan setiap Menteri Persekutuan, Timbalan dan Setiausaha Parlimen dilarang memegang jawatan mana-mana persatuan sukan negara seperti ditetapkan mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, Shahidan tanpa berselindung menyatakan sokongan penuh kepada bekas orang kanannya Karim untuk menduduki jawatan panas itu selepas presiden sekarang Datuk Zainal Abidin Ahmad tidak mempertahankan kerusinya.

“Saya akan sokong Karim untuk menjadi Presiden KOM. Saya doakan beliau berjaya dan akan memastikan perwakilan Perlis memberi sokongan kepadanya.

“Saya akan beri panduan dan nasihat kepadanya (Karim) dari masa ke semasa selain turut membantu Khairy (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) untuk bersama-sama meningkatkan mutu sukan olahraga,” katanya.

Sebelum ini, Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) mendahului senarai pencalonan apabila meraih enam undi daripada Sabah, Pahang, Melaka, Perak, Johor dan Kelantan manakala Shahidan mendapat dua undi (Selangor, Perlis) dan Wan Hisham satu (Terengganu).

Seramai 42 perwakilan daripada 14 ahli gabungan KOM (setiap ahli gabungan mempunyai tiga wakil) bakal mengundi di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dalam menentukan hala tuju baru badan induk sukan olahraga itu untuk tempoh dua tahun, 2014-2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:01 AM