Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Skuad menembak negara membariskan 24 atlet pada temasya Sukan SEA Singapura dengan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya membawa pulang tiga emas.

Berdasarkan prestasi semasa atlet, perkara itu tidak sukar untuk direalisasikan namun atlet perlu waspada dan berharap tiada halangan menimpa skuad menembak negara seperti yang berlaku di Sukan SEA Palembang.

Pengurus pasukan Muzli Mustakim berkata, skuad negara sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan sering bekerjasama dengan Singapura berhubung segala keperluan membabitkan peluru dan peralatan.

“Supaya kejadian tidak diingini berulang, kita sudah membuat persediaan rapi. Berapa banyak peluru yang akan digunakan oleh rifle, pistol dan lain-lain sudah kita maklumkan dan berapa banyak lebih peluru yang akan dibawa pulang juga perlu dimaklumkan kepada pengurusan Sukan SEA.

“Berdasarkan persiapan, saya harap tiada masalah timbul hingga boleh menjejaskan persiapan penembak di Singapura nanti,” katanya.

Empat tahun lalu skuad negara berdepan kesukaran dicipta sendiri tuan rumah Palembang apabila tidak membenarkan skuad negara membawa masuk peluru yang akan digunakan oleh atlet.

Perkara itu menjejaskan tumpuan atlet negara apabila tidak dapat berlatih sebelum pertandingan sehingga akhirnya menyaksikan Malaysia hanya membawa pulang dua emas menerusi Nur Suryani Mohamed Taibi.

Ditanya siapakah penembak yang berada dalam prestasi terbaik menyumbangkan emas, Muzli berkata Suryani, Alia Sazana Azahari, Muhammad Ezuan Nasir Khan yang meraih pingat di Sukan Asia (tahun lalu) menjadi sandaran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:10 AM