Neelofa tidak bercinta dengan sesiapa sekarang. FOTO Aziah Azmee
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Pelakon dan pengacara jelita Neelofa, 26, menafikan dia kembali bercinta dengan pelakon dan penerbit Hans Issac selepas berpisah tahun lalu.

Neelofa berkata, dakwaan itu tidak benar, tetapi dia mengaku sudah bercakap semula dengan Hans selepas Aidilfitri tahun lalu, namun hubungan itu tidak lebih daripada sekadar berkawan.

Perkara itu mula hangat diperkatakan apabila Neelofa dilihat hadir ke pementasan teater Baik Punya Cilok lakonan Hans, Datuk AC Mizal, Awie dan Afdlin Shauki di Istana Budaya, di sini, April lalu.

Menurut Neelofa, semua cerita yang tersebar itu tidak ada satu pun yang menggambarkan situasi sebenar.

“Cerita kami kononnya kembali bercinta adalah tidak betul. Saya masih solo dan tidak bercinta dengan sesiapa pun sekarang,” katanya.

Neelofa berkata, bapanya juga sentiasa berpesan supaya mengambil sikap berdiam diri sekiranya perkara yang dibangkitkan itu tidak benar.

"Kalau saya menjawab, nafi atau sebaliknya, pasti akan jadi cerita lain pula. Jadi lebih baik saya diam," katanya.

Neelofa dikatakan mula bercinta dengan Hans sejak 2011 ketika sama-sama menjalani penggambaran filem Lemak Kampung Santan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:57 PM