KETIKA penggambaran di Tokyo Skytree, menara tertinggi di bandar raya itu.
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Penerbangan selama tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Tokyo, Jepun pada 13 Oktober lalu mungkin antara penerbangan paling menakutkan pernah dinaiki penulis.

Sebaik tiba di ruang udara Tokyo kira-kira jam 10.30 malam waktu tempatan, pesawat kami bergegar teruk gara-gara angin kencang yang dibawa taufan Vongfong menyebab­kan juruterbang gagal mendaratkan pesawat sebanyak dua kali.

Pesawat kami diarahkan berlegar-legar di udara dan satu setengah jam selepas itu, barulah ia berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo-Haneda dalam keadaan yang serba 'tidak selesa'.

Mungkin itu antara cabaran yang perlu dihadapi penulis bersama tiga wakil media Malaysia untuk membuat liputan penggambaran program travelog Welcome To The Railworld Japan di sekitar Tokyo.

Sebaik tiba, kami dimaklumkan pula penggambaran yang akan dilakukan esoknya di taman tema Fuji-Q Highland di Yamanashi dan stesen kereta api Kawaguchiko yang berlatarkan Gunung Fuji dibatalkan.

Semuanya gara-gara taufan Vongfong yang membawa angin selaju 180 kilometer sejam itu dijangka membadai Tokyo keesokannya.

Namun, semua itu tidak menghalang empat kru produksi Malaysia dari Primeworks Studio Sdn Bhd yang dibantu 10 tenaga produksi dari Jepun untuk menyiapkan 10 episod program berkenaan yang bakal ditayangkan di 8TV mulai 15 Januari tahun depan.

Mereka yang terdiri daripada penerbit dan pengarah, Ahmad Khairi Zulkifli, 33; penolong penerbit, Mohd Zahir Zainuddin, 30; penulis skrip, Widyawati Sharkawi, 29, dan pengacara, Henry Golding, 27, sudah berkampung di negara matahari terbit itu sejak 27 Ogos lalu.

Mereka turut dibantu dari segi teknikal oleh kru dari Jepun seperti penerbit, Tetsuzan Aomi, Jun Fujii; penolong penerbit, Haruka Ui; penolong pengarah, Ken Ouura; pengarah fotografi, Tsutomu Yokose, Motohisa Okumura dan penolong jurukamera, Koki Ikehara.

Turut melancarkan proses penggambaran ialah Pengarah Eksekutif AX-ON Inc merangkap Penerbit Bersekutu Welcome To The Railworld Japan, Hajime Sato dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Nippon TV, Taro Ozawa.

Program Welcome To The Railworld yang diterbitkan produksi sama pada 2010 di 8TV menarik minat dua syarikat gergasi di Jepun iaitu Nippon Television Network Corporation dan Sumitomo Corporation untuk diterbitkan dalam versi pengembaraan di Jepun yang kemudian dinamakan sebagai Welcome To The Railworld Japan.

Ia membawa pengacara­nya, Henry meneroka Jepun termasuk menyelami budaya masyarakat dan makanannya dengan menaiki kereta api dari utara Jepun di Hokkaido hing­galah kepulauan Okinawa di selatan.

Ia turut menampilkan lokasi menarik di wilayah lain seperti Tokyo, Tohoku, Kanto, Chubu, Kinki, Chugoku, Shikoku dan Kyushu.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Nippon TV, Taro Ozawa berkata, tujuan utama program berkenaan ialah untuk mempromosikan Jepun kepada Malaysia sekali gus menggalakkan rakyat negara ini melancong ke Jepun.

Ditanya mengapa mereka mengekalkan Henry sebagai pengacara, Taro berkata, mereka tidak memilih pengacara dari Jepun kerana mahukan persepsi yang berbeza terhadap negara itu.

"Kami mahu orang luar meneroka sendiri keistimewaan yang ada di Jepun dari segi pengangkutan, budaya serta makanan.

"Jika menggunakan orang Jepun, dia mungkin memberi persepsi berbeza terhadap sesuatu destinasi itu kerana mereka sudah biasa di situ, tetapi tidak bagi orang luar seperti Henry yang pastinya melihat ia dalam konteks yang berbeza," katanya kepada RAP.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif AX-ON Inc merang­kap Penerbit Bersekutu Welcome To The Railworld Japan Hajime Sato berkata, kerjasama membabitkan dua negara itu berjalan lancar, malah ia menjadikan mereka akrab seperti satu keluarga.

"Komunikasi tidak menjadi penghalang kerana kami menyediakan khidmat dua jurubahasa. Walaupun dihimpit tekanan, kami bekerjasama dengan baik, malah bergurau hingga mewujudkan kemesraan," katanya.

Hajime berkata, cuaca yang tidak menentu juga kerap mengganggu kelancaran kerja mereka, namun ia berjaya diatasi dengan susunan jadual yang baik selain kerjasama mantap sesama mereka.

"Kami bekerja dengan cepat. Kadang-kadang hanya menginap satu malam di hotel dan esoknya bergerak ke lokasi lain pula. Persefahaman di antara kami menjadikan segala-galanya berjalan lancar," katanya.

Seronok naik Shinkansen

Bagi penerbit dan pe­ngarah, Ahmad Khairi, peluang dan kepercayaan yang diberikan untuk menerajui program itu adalah satu penghormatan buat anak tempatan untuk bekerjasama dengan produksi luar.

"Saya suka bekerja dengan mereka (produksi Jepun). Sebagai pengarah dan penerbit, saya turut diberi kebebasan selain banyak dibantu dari segi teknikal," katanya.

Ahmad Khairi berkata, Welcome To The Railway Jepun turut memberi tip dan maklumat berguna untuk melancong di Jepun.

"Perkhidmatan kereta api di Jepun adalah antara yang paling efisien di dunia. Anda boleh menggunakan perkhidmatan itu ke mana-mana saja tanpa masalah.

"Paling menarik ialah menaiki Shinkansen atau 'bullet train' yang juga kereta api paling laju di dunia. Shinkansen adalah antara tarikan utama yang dipaparkan Welcome To The Railworld Japan," kata­nya.

Dalam pada itu, Ahmad Khairi mengakui Jepun adalah antara negara paling mahal untuk dilawati, namun jika mempunyai pengurusan kewangan dan perancangan yang betul, ia tidak akan bermasalah.

Sementara itu, Henry yang diberi tanggungjawab sebagai pengacara amat teruja dan tidak sabar untuk menunggu maklum balas daripada penonton apabila ia ditayang­kan nanti.

Menurutnya, antara pe­ngalaman tidak boleh dilupakan ialah ketika mengunjungi pusat latihan sukan yang cukup popular di Jepun iaitu sumo.

"Orang ramai memang tidak dibenarkan memasuki pusat latihan itu. Saya yang berpeluang memasukinya cukup terpesona. Maklumlah, ia peluang yang tidak akan diperoleh lagi selepas ini," katanya.

Henry berkata, pengalaman menaiki Shinkansen dari Tokyo ke Osaka dengan jarak lebih 500 kilometer dalam masa dua jam saja cukup menyeronokkan.

Selain itu, dia juga teruja apabila bertemu dengan kaum pribumi yang masih wujud di Hokkaido.

"Setiap kali berfikir me­ngenai Jepun, apa yang terlintas ialah mengenai kemodenan mereka. Namun, siapa sangka mereka juga masih mempunyai kaum pribumi yang masih me­ngamalkan cara kehidupan kuno.

(Yang membuat liputan penggambaran program Welcome To The Railworld Japan terbitan 8TV, Nippon TV dan Sumitomo Corporation di Tokyo, Jepun baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:01 AM