PELANCONG memeriahkan suasana dengan menari bersama penari diiringi lagu Malaysia Truly Asia.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Bagi sesiapa yang pernah merasai pe­ngalaman menaiki bas ‘Kuala Lumpur Hop On Hop Off’ atau KLHOHO, pasti tahu keseronokan berada di atas bas itu sambil mengeli­lingi sekitar ibu kota.

Kini, anda boleh menaiki bas itu secara percuma hari ini hingga 31 Mei ini di Putrajaya sempena acara ‘Magic of The Night’ (MOTN) di Marina Putrajaya.

Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Pemasaran Tourism Malaysia Hishamuddin Mustafa berkata, ini kali kedua Tourism Malaysia bekerjasama dengan KLHOHO.

Bermula 24 Mei lalu, KLHOHO mengelilingi beberapa negeri termasuk Putrajaya bagi mempromosi MOTN yang menyasar 50,000 pelancong.

Di Melaka, KLHOHO singgah di Zoo Melaka, Menara Taming Sari dan Dataran 1 Malaysia, Klebang.

Di Negeri Sembilan dan Selangor, bas itu singgah di Palm Mall Seremban, Terminal 1 Seremban, Muzium Negeri dan Taman Tema Air Sunway Lagoon.

Penulis turut mengikuti jelajah promosi Tourism Malaysia bersama KLHOHO di hadapan pintu masuk Sunway Lagoon.

Persembahan tarian Year of Festival 2015 oleh penari kebudayaan memeriahkan suasana.

Tarian penuh warna-warni itu disertai pelancong di sekitar pintu masuk pusat rekreasi berkenaan.

Tourism Malaysia mengedarkan risalah mengenai acara yang bakal berlangsung.

Di akhir aktiviti promosi di Sunway Lagoon, orang ramai termasuk pelancong menari bersama-sama penari kebudayaan sambil diiringi lagu Malaysia Truly Asia.

Promosi kemudian diteruskan ke The Curve, Mutiara Damansara.

KLHOHO meneruskan penjelajahan promosi di sekitar Kuala Lumpur dan berakhir semalam di Putrajaya.

Antara lokasi di sekitar Kuala Lumpur ialah Menara KL dan Dataran Merdeka.

Jelajah KLHOHO turut mempromosikan acara ‘Royal Floria Putrajaya’ pada 30 Mei hingga 7 Jun ini.

Orang ramai yang mahu merasai pengalaman menaiki KLHOHO secara percuma boleh berbuat demikian di MOTN yang bermula jam 5 petang hingga 11 malam.

Bagi acara MOTN, Tourism Malaysia memperkenalkan 25 pakej bermula RM25 hingga RM315 dan segala pakej boleh didapati di Facebook Cuti-cuti 1 Malaysia dan Facebook Malaysia Truly Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 1:13 PM