AKIM & The Majistret.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Hubungan cinta penyanyi Akim, 24, dengan Stacy, 25, bukan lagi rahsia.

Malah, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad mengakui sudah bersedia untuk melangkah ke fasa lebih serius dengan Stacy.

Apatah lagi, hubungan mereka juga sudah direstui keluarga kedua-dua pihak ketika ini.

Akim juga dikatakan rapat dengan keluarga Stacy dan pernah berkunjung ke rumah penyanyi itu di Sabah.

Begitu juga Stacy yang pernah menziarahi rumah keluarga Akim pada sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, kata Akim, mereka belum merancang untuk berumah tangga dalam tempoh terdekat ini.

“Sebagai lelaki dan bakal ketua keluarga, saya perlu memastikan kedudukan kewangan stabil sebelum berkahwin.

“Buat permulaan, saya merancang untuk membeli rumah yang selesa sebagai persediaan untuk membina keluarga nanti.

“Selain itu, masih ada yang ingin saya kecapi dalam karier nyanyian sebelum berumah tangga. Begitu juga dengan Stacy yang ingin mengukuhkan lagi karier seninya,” katanya.

Ditanya sama ada Stacy sudah memeluk Islam seperti yang diperkatakan di laman sosial, kata Akim, kekasihnya itu belum melakukan perkara itu lagi.

“Saya juga ada asas agama yang cukup dan tahu batasannya untuk membimbing Stacy mendalami Islam.

“Doakan saja yang terbaik buat masa depan kami nanti,” katanya.

Cerita negatif matangkan Akim

Jangan kaitkan lagi namanya dengan cerita negatif termasuk dakwaan dirinya dikatakan di bawah pengaruh dadah ketika beraksi dalam persembahan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik 29 tahun lalu.

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Mewangi bersama The Majistret itu, cerita negatif seperti itu menjejaskan nama baiknya dalam bidang muzik tanah air.

Namun, Akim tidak patah semangat sebaliknya percaya apa yang berlaku itu semakin mematangkannya sebagai anak seni.

Apa yang penting, kata Akim, dia ingin meneruskan perjuangannya dalam bidang muzik yang juga periuk nasinya dalam bidang seni.

“Saya juga bakal muncul dengan bingkisan album pertama dengan The Majistret.

“Album ini memuatkan lapan lagu dan salah satunya berjudul Patriot.

“Lagu Patriot ini ditujukan khas kepada generasi muda untuk meningkatkan rasa cinta kepada bangsa dan tanah air,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Akim turut terbabit dalam beberapa program raya seperti Meletop Raya dan Lebih Indah bersama Datuk Siti Nurhaliza untuk saluran RTM.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Kampung Girl arahan Heykal Hanifah bergandingan dengan Nad Zainal yang ditayangkan di TV3.

Selain itu, Akim pernah diberi kepercayaan mengendalikan program realiti Mencari Ramli di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 12:41 PM