SEORANG lelaki meninjau keadaan bangunan kediaman yang hampir musnah selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi di bandar Saada, semalam.
Agensi

Sanaa: Serangan udara terbaru pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi ke atas sebuah pangkalan tentera di Sanaa menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan lebih 100 cedera.

Agensi berita Yaman Saba melaporkan, jumlah itu kiraan awal dan jumlah kematian mungkin meningkat.

Sementara itu, 30 penduduk Yaman berhampiran sempadan kedua-dua negara itu mati dalam serangan berasingan yang dilancarkan jet pejuang Saudi.

Penduduk berkata, serangan itu menyasarkan daerah kabilah yang menyokong pemberontak Houthi.

“Penduduk Houthi menyerang kedudukan tentera di sempadan Saudi dari kawasan itu. Tetapi jet Saudi gagal menyasarkan mereka, sebaliknya mengebom penduduk kampung,” kata seorang penduduk.

Puluhan pesawat yang diketuai Arab Saudi mengambil bahagian dalam kedua-dua serangan semalam.

Sasaran utama mereka ialah sebuah kem komando polis di tengah Sanaa, berhampiran istana presiden.

Serangan awal pagi itu menyebabkan kepulan asap hitam menyelubungi seluruh kawasan berkenaan hingga menyukarkan pergerakan ambulans untuk mengangkut mangsa yang cedera.

Sebahagian besar penduduk Sanaa terpaksa berlindung di tingkat bawah bangunan sementara kedai ditutup dan jalan raya lengang.

Saksi juga berkata, pesawat turut mengebom sebuah pangkalan tentera di barat Hodeida yang dikuasai Houthi serta kubu kuat pemberontak berkenaan di Saada dan Hajjah.

Serangan udara yang dilancarkan sejak 26 Mac lalu berjaya memusnahkan sebahagian kedudukan pemberontak, tetapi gagal untuk mengekang kemaraan kumpulan itu ke Aden, bandar strategik di selatan Yaman.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata, lebih 2,000 orang mati dalam konflik senjata di negara itu sepanjang dua bulan lalu.

Ketua agensi itu Margaret Chan berkata, 8,000 orang termasuk ratusan kanak-kanak dan wanita cedera.

Menurutnya, antara yang mati itu, termasuk seluruh keluarga wanita berusia 65 tahun, Fathiya.

Wanita berkenaan kehilangan 13 anggota keluarganya dalam satu serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:01 AM