Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang penoreh getah didenda RM2,950 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik, di sini, petang tadi terhadap sembilan pertuduhan mengabaikan lapan waran tangkap membabitkan pelbagai kesalahan trafik dari 2003 hingga 2013.

Tertuduh Mohd Zamzuri Mohamad Zain, 37, yang diberkas polis melalui Ops Warta didapati kerap melakukan kesalahan sama iaitu tidak mempunyai lesen kenderaan dan melanggar peraturan jalan raya.

Majistret Nur Fadrina Zulkhairi memerintahkan tertuduh dipenjara 44 hari jika gagal membayar denda itu..

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Kampung Mani, Mukim Belimbing Kanan, Kuala Nerang, dekat sini, didakwa atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu, melanggar lampu isyarat dan motosikal tidak mempunyai cermin pandang belakang.

pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mahkamah Trafik Alor Setar Inspektor Sukmanengrat Johar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 4:57 PM