WAN Abd Aziz (kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohd Adli Mat Daud menunjukkan gambar suspek yang melarikan anaknya. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Helmy Abd Rahman dan Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis menafikan penyebaran berita kanak-kanak lelaki yang dilaporkan diculik untuk dijadikan tebusan sebaliknya mangsa dilarikan bapanya dalam kejadian di Jalan Bukit Khor,Marang, semalam.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, kanak-kanak berusia tiga tahun yang bersama ibunya berusia 35 tahun dilarikan suspek berusia 30-an selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, rakan suspek menaiki kereta melanggar kereta ibu mangsa sebelum suspek keluar daripada kenderaan lain.

"Rakan suspek berpura-pura memarahi ibu mangsa sebelum suspek bertindak melarikan mangsa.

"Siasatan awal mendapati pasangan itu dalam proses penceraian manakala kanak-kanak itu dijaga ibunya yang mendapat hak penjagaan sementara daripada mahkamah.

"Siasatan awal mendapati kes berkenaan lebih berpunca daripada masalah keluarga dan usaha mengesan suspek yang juga rakyat Brunei sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 2:23 PM