BB King

Clark County: Pihak berkuasa Nevada akan melakukan siasatan jenayah terhadap kematian legenda muzik Blues BB King yang mati dua minggu lalu pada usia 89 tahun.

Keputusan itu dibuat selepas dua anak perempuan pemuzik terkenal itu menuduh dia dibunuh.

Dalam kenyataan menerusi Twitter, pejabat koroner Nevada di Clark County berkata, ia sudah mengambil mayat pemuzik berkenaan untuk menjalankan bedah siasat dan keputusannya dijangka diketahui antara enam hingga tujuh minggu.

Siasatan itu akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Polis Las Vegas.

Dua anak King, Karen Williams dan Patty King sebelum ini mendakwa bapa mereka diracun, mungkin oleh dua rakan mendiang, termasuk seorang yang mempunyai hak guaman terhadap hal ehwal kehidupan legenda muzik itu.

“Saya percaya bapa saya diracun. Saya percaya bapa saya dibunuh,” kata kedua-dua wanita berkenaan dalam kenyataan berasingan.

Seorang peguam yang bertanggungjawab terhadap harta King menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Kedua-dua anak mendiang juga mendakwa, anggota keluarga pemuzik itu tidak dibenarkan melawatnya ketika dia nazak.

King, anggota ‘Rock and Roll Hall of Fame’ mati di Las Vegas pada 14 Mei lalu.

Dia memberitahu media beberapa hari sebelum kematiannya bahawa dia menjalani rawatan di rumah kerana kencing manis.

Dia dijadual dikebumikan Jumaat ini di Mississippi.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada siasatan berkenaan akan menyebabkan upacara itu ditunda. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:30 AM