REMAJA yang dikenali sebagai Mertkan G (kiri) ketika dihadapkan ke mahkamah di St Pollen, semalam.

Sankt-poelten (Austria): Seorang remaja berusia 14 tahun yang didakwa mempunyai hubungan dengan militan Negara Islam (IS) dihukum penjara lapan bulan selepas didapati bersalah cuba memasang bom di sebuah stesen kereta api di Vienna.

Remaja yang dikenali sebagai Mertkan G itu juga didapati bersalah mempunyai hubungan dengan IS dan diberi penambahan hukuman penjara 16 bulan.

Menurut kertas pertuduhan, remaja itu yang berhijrah dari Turki ke Austria pada 2007 merancang serangan berkenaan sebelum menyertai IS di Syria.

Polis berkata, remaja itu ditahan pada Oktober 2014 apabila mahu membeli bahan membuat bom dan meletakkan bom itu di tempat awam.

Peguamnya, Rudolf Mayer memberitahu mahkamah, tertuduh hanya bermain-main dengan idea untuk membuat bom.

Remaja itu ditahan sejak Januari lalu selepas melanggar syarat parol.

Beberapa laporan media yang tidak disahkan sebelum ini mendakwa IS menawar membayar remaja itu AS$27,250 (RM99,098) sekiranya dia berjaya melakukan serangan berkenaan.

Ramai warga Austria dilihat cuba atau meninggalkan negara itu bagi menyertai IS di Iraq dan Syria.

Menurut Kementerian Luar Austria, lebih 200 berjaya menyertai IS termasuk wanita dan remaja bawah umur.

Seramai 70 lagi sudah kembali ke tanah air dan sebahagiannya ditahan sebelum didakwa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:21 AM