REMAJA India mandi di Sungai Sabarmati di Ahmedabad untuk menyegarkan diri mereka daripada cuaca panas.
Reuters

New Delhi: Jumlah kematian akibat cuaca panas yang melanda India menjangkau 800 orang semalam ketika suhu menghampiri 50 darjah Celsius.

Hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk merawat mangsa strok haba dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak keluar memandangkan belum ada tanda-tanda keadaan akan bertambah baik.

Di Andhra Pradesh, negeri paling teruk terjejas, 551 orang disahkan mati minggu lalu. Suhu di negeri itu mencecah 47 darjah Celsius, semalam.

Kerajaan negeri itu melancarkan kempen pendidikan menerusi televisyen dan media lain, menggesa orang ramai tidak keluar tanpa memakai topi, minum banyak air dan beberapa langkah lain.

Pesuruhjaya khas Agensi Bencana Alam negeri P Tulsi Rani berkata, kerajaan juga menggesa pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan mewujudkan kem menyediakan air minuman bagi membolehkan penduduk memperolehnya dengan lebih mudah.

Akhbar Hindustan Times semalam melaporkan, suhu maksimum di New Delhi mencecah 45.5 darjah Celsius kelmarin, lima darjah lebih tinggi berbanding suhu purata musim panas.

Ia turut menyiarkan gambar sebatang jalan raya utama di ibu negara itu cair kerana suhu panas melampau.

Di negeri Telangana, 231 orang mati minggu lalu dengan suhu mencecah 48 darjah Celsius, kelmarin.

Di Orissa, barat India, 11 orang disahkan mati.

Jabatan Metereologi mengeluarkan amaran ‘Kotak Merak’ di negeri itu untuk semalam dan hari ini, yang bermakna suhu maksimum akan kekal di atas paras 45 darjah Celsius.

Seramai 13 lagi mati di Benggala Barat.

Keadaan panas melampau mendorong Kesatuan Sekerja di negeri di timur India itu menggesa pemandu di bandar raya Kolkata tidak keluar bekerja pada siang hari.

Hindustan Times memberi amaran beberapa negeri yang terjejas mungkin mengalami kemarau sebelum musim tengkujuh.

Musim itu diramal melanda Kerala di selatan India menjelang akhir bulan ini sebelum merebak ke seluruh negara.

Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum tiba di kawasan utara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:20 AM