BB King... legenda pemain gitar blues

Washington: Polis Las Vegas memulakan siasatan kematian legenda pemain guitar blues BB King selepas anak perempuannya mendakwa bapanya diracun oleh pembantu.

King yang menghidap kencing manis sejak 20 tahun lalu, meninggal dunia di sini, 14 Mei lalu, ketika berusia 89 tahun.

Dua anak perempuannya, Karen Williams dan Patty King, mendakwa bapa mereka diracun oleh pengurus perniagaan King, Laverne Toney dan pembantu peribadinya.

Dalam afidavit berasingan tetapi kandungannya hampir sama kepada mahkamah, mereka menyatakan; “Saya percaya bapa diracun dan dia diberi elemen tertentu yang membawa kepada kematiannya. Saya meminta siasatan rasmi untuk kes ini,”

Pada penghujung hayatnya King berbalah dengan keluarga serta pengurusnya mengenai penjagaan dirinya.

Sementara itu, Toney yang menguruskan harta King menolak dakwaan berkenaan dengan berkata: “Mereka sudah lama membuat dakwaan itu. Ia bukan perkara baru.

Pejabat koroner tempatan mengesahkan kemungkinan King dibunuh sedang dilakukan dan mayatnya akan dibedah sisasat.

Berikutan itu pengebumiannya dijangka ditunda.

BB King atau nama sebenarnya Riley B King dilahirkan dalam keluarga pekerja ladang kapas yang miskin tetapi membina kemahiran bermain guitar membolehkannya memasuki industri hiburan selepas bekerja dengan stesen radio di Memphis sebelum terkenal sebagai Beale Street Blues Boy lalu digelar BB KIng. Dia memenangi 15 anugerah Grammy. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:37 PM