KEADAAN rumah yang musnah di Ciudad Acuna, utara Mexico. Foto AP
KENDERAAN yang diterbangkan puting beliung jatuh menghempap rumah di Ciudad Acuna, Mexico. Foto Reuters

Mexico City: Puting beliung yang melanda bandar Ciudad Acuna di utara Mexico, menyebabkan 13 terbunuh termasuk tiga kanak-kanak manakala 12 lagi hilang di Texas, di selatan Amerika Syarikat, selepas rumah percutian mereka dihanyutkan air sungai yang melimpah.

Menurut AFP, puting beliung bersama hujan lebat yang melanda ketika Subuh tadi, menerbangkan kereta serta lori ke udara, merosak atau memusnahkan lebih 1,000 rumah menyebabkan bandar Ciudad Acuna yang dihuni lebih 130,000 orang, seperti padang jarak.

Tiga kanak-kanak maut akibat ditimpa siling bumbung yang runtuh.

Sementara itu Associated Press (AP) melaporkan, di Wimberly, Texas, pasukan penyelamat berusaha mengesan 12 orang daripada dua keluarga yang hilang selepas rumah percutian mereka dihanyutkan limpahan air sungai sebelum rumah itu musnah selepas melanggar jambatan.

Gabenor Texas Greg Abbott mengisytiharkan darurat di 24 daerah yang terjejas teruk dengan lebih 400 rumah dianggarkan rosak atau musnah.

Puting beliung berkenaan bergerak selaju antara 270 hingga 300 kilometer sejam selama enam saat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:31 PM