Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Lelaki berusia 22 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan berhubung kes culik kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Roszita Md Saad.

Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Aiman Kamarolzaman, 7, diculik lelaki tidak dikenali di Masjid Muhammadi Jalan Sultanah Zainab, di sini, ketika menemani bapanya Kamarolzaman Mohamad, 50, menunaikan solat Isyak, Jumaat lalu.

Aiman bagaimanapun diselamatkan orang awam pada jam 5.30 petang, Sabtu lalu, ketika merayau meminta sedekah di sebuah pusat beli belah sebelum menghantarnya pulang kepada ibu bapanya.

Suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan orang ramai pada jam 10.20 pagi semalam oleh orang ramai di hadapan Masjid Muhammadi ketika sedang mengemis di lokasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 2:40 PM