LAKARAN tempat kejadian bot tunda dilanggar kapal tangki. FOTO Mustaffa Kamal
ANGGOTA APMM menjalan operasi mencari dan menyelamat enam anak kapal yang dikhuatiri hilang.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Bot tunda yang dilanggar sebuah kapal tangki minyak awal pagi tadi kira-kira 9.1 batu nautika dari Tanjung Gelang, di sini, dipercayai pecah sebelum karam sehingga menyebabkan enam anak kapalnya hilang manakala seorang terselamat.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Nasir Adam berkata, pihaknya menemui serpihan kayu, tompokan minyak dan boya penyelamat tertulis 'YTC M5' di 2.5 batu nautika dari tempat kejadian dan tali tunda pada jarak 4.2 batu nautika.

"Kita menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 11.15 pagi sebelum melakukan operasi SAR membabitkan radius kawasan tujuh batu nautika dari lokasi bot berkenaan dilaporkan dilanggar.

"Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Martins Sembiring, 30, manakala enam anak kapal yang masih hilang berusia dalam lingkungan 20 hingga 36 tahun, lima daripadanya adalah warga Indonesia manakala seorang warga tempatan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Nasir berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan kapal tangki yang melanggar bot itu kerana difahamkan kapal berkenaan terus beredar sejurus melanggar bot tunda yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Pahang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:12 PM