PEMAIN Pahang berlatih selepas perlawanan menentang Persipura dibatalkan.
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Maaf kami tidak mahu perlawanan ulangan.” Itu pendirian tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang senada dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) supaya skuad Tok Gajah diberikan kemenangan percuma bagi aksi pusingan kedua Piala AFC menentang Persipura Jayapura yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Masalah timbul membabitkan visa pemain import Pahang apabila mereka tidak dibenarkan memasuki Indonesia dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta bagi meneruskan penerbangan ke Papua kelmarin, sekali gus mendorong PBNP membuat keputusan pulang semula ke tanah air.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) gagal membantu PBNP berikutan sekatan oleh kerajaan Indonesia yang ada kaitan dengan kemelut dalaman antara badan induk bola sepak itu dan pemerintah.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, PSSI mengaku bersalah menerusi surat yang dihantar kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FAM.

Mereka bagaimanapun mahukan perlawanan ulangan diadakan.

Namun FAM yang sudah merujuk kes itu kepada AFC menyokong keputusan PBNP supaya mereka diberikan kemenangan percuma sekali gus layak ke suku akhir Piala AFC.

“Mereka (PSSI) sudah menghantar surat dan mengaku bersalah kerana Menpora (Menteri Pemuda dan Olahraga) meminta semua jabatan kerajaan supaya tidak membantu PSSI.

“Mereka sedang berusaha menyelesaikan masalah ini kerana sekatan itu berlaku akibat masalah dalaman PSSI.

“Mereka memohon supaya perlawanan ulangan diadakan tapi tak dinyatakan di mana. PBNP sudah menghantar surat kepada FAM dan kami sudah maklumkan kepada AFC bahawa kami mahu kemenangan percuma diberikan kepada Pahang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Bagaimanapun FAM masih lagi menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Disiplin (DC) AFC mengenai kes itu dalam masa terdekat ini.

“DC akan putuskan dalam masa terdekat ini tapi bagi FAM dan PBNP, kami sudah memberikan pandangan kita kepada AFC. Sama ada PSSI bersalah atau tidak terpulang kepada DC.

“Bagi FAM, ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita sudah mengikut segala prosedur dan memberikan komitmen terbaik dalam saingan Piala AFC,” jelas Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:38 AM