SHAPAWI (tengah kanan) bersama Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara Datuk Mohamad Norza Zakaria (tengah kiri) bersama atlet di Majlis Kem Latihan Pusat Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Singapura.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet negara diingatkan supaya tidak mudah berputus asa sekiranya berpeluang meraih pingat emas di Sukan SEA Singapura yang bermula awal bulan depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, atlet negara tidak seharusnya berfikiran sekadar mahu memenuhi sasaran diletakkan dan tidak berusaha bersungguh-sungguh walaupun berpeluang muncul juara.

“Jika dia mampu meraih emas namun berputus asa kerana merasakan sudah memenuhi sasaran (contohnya pingat gangsa) atlet berkenaan boleh disifatkan tidak bijak.

“Jangan berputus asa sekiranya ada peluang memenangi emas kerana pelbagai insentif menarik bakal menanti. Dia akan mendapat ganjaran setimpal seperti peluang menyertai Program Podium dan SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan,” kata Ahmad Shapawi ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan atlet negara bersikap sambil lewa apabila tidak diletakkan sasaran emas.

Atlet negara diberikan ganjaran SHAKAM berjumlah RM20,000 bagi setiap emas pertama dimenangi, disusuli RM10,000 untuk emas seterusnya.

Beliau turut menjelaskan sasaran untuk memenangi 56 peratus pingat menerusi 335 acara disertai tanpa mengira warna adalah pendekatan baru yang cuba dilaksanakan.

“Jika sasaran emas diletakkan, persatuan sukan kebangsaan akan cenderung untuk membawa atlet senior yang ‘dijamin’ mampu muncul juara. Jadi apabila pendekatan baru ini diambil, peluang atlet remaja untuk terpilih mewakili negara cerah.

“Kita terlebih dulu mahu mengubah pemikiran persatuan sukan kebangsaan walaupun ada yang mengatakan tindakan ini ibarat `memilih jalan selamat’,” katanya.

Sukan SEA edisi ke-28 berlangsung dari 5 hingga 16 Jun mempertandingkan 36 jenis sukan meliputi 402 acara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:28 AM