Kuala Lumpur: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) tekad meraih sekurang-kurangnya 10 pingat tanpa mengira warna pada Sukan SEA Singapura yang bermula secara rasmi 5 Jun ini.

Timbalan Setiausaha Kehormat PESAKA Osman Nok berkata badan induk sukan itu meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya dua emas pada temasya dwitahunan itu kali ini.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, mereka akan mempertaruhkan tiga pesilat senior Mohd Al-Jufferi Jamari yang beraksi dalam kategori Putra Kelas C (30-32 kg), Mohd Fauzi Khalid (Putra Kelas F 36-38kg) dan Siti Rahmah Mohd Nasir (Putri Kelas D 32-34kg).

Beliau berkata sandaran pingat juga diletakkan kepada pesilat muda seperti Siti Umairah Zabidin yang meraih emas dalam acara Putri Kelas B (28-30kg) pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-16 di Stadium Saphan Hin, Phuket, Thailand dari 7 hingga 17 Januari lalu.

Pada Sukan SEA kali ini, Pesaka mempertaruhkan 16 pesilat yang membabitkan tiga pesilat elit dan 13 pelapis.

“Berikutan gandingan pesilat senior dan pelapis, PESAKA yakin sasaran untuk mempertahankan dua pingat emas di Singapura bukanlah satu misi mustahil,” katanya.

Osman berkata, kesemua 16 pesilat negara kini menjalani latihan fasa akhir di Bukit Fraser, Pahang bermula semalam hingga 5 Jun ini bagi persiapan mental sebelum bertolak ke Singapura. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:24 AM