Kuala Lumpur: Ratu terjun negara Pandelela Rinong (gambar) meraih pingat gangsa acara 10m platform pada Kejohanan Terjun Siri Dunia 2015 di Windsor, Kanada.

Menurut laman web www.fina.org, Pandelela beraksi baik apabila memungut 371.25 mata keseluruhan bagi mengesahkan pingat itu pagi semalam.

Dia juga mempamerkan aksi terjunan konsisten dengan mencatatkan 76.50 mata pada terjunan pertama dan mengekalkan momentum apabila membuat 73.95 (kedua), 76.80 (ketiga) dan 72.00 (keempat dan kelima).

Pingat emas acara itu diungguli penerjun China, Ren Qian selepas mengumpul 429.35 mata manakala rakan senegaranya, Si Jayie meraih perak dengan perbezaan 51.45 mata.

Kejohanan Siri Dunia di Windsor ini turut menyaksikan aksi hambar penerjun negara, Cheong Jun Hoong dalam acara 3m papan anjal wanita.

Jun Hoong yang berpasangan dengan Lee Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita pula menyaksikan mereka menduduki tempat tercorot. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:18 AM