185 juta orang di seluruh dunia berkemungkinan dijangkiti hepatitis C (HCV).
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Ia tidak menunjukkan sebarang gejala, namun lebih daripada 451,000 rakyat Malaysia dan 185 juta orang di seluruh dunia dianggarkan berkemungkinan dijangkiti hepatitis C (HCV).

Ini kerana kira-kira 80 peratus penghidap penyakit berkenaan tidak mengetahui diri mereka mendapat hepatitis C sehingga 30 tahun lamanya kerana HCV tidak menunjukkan sebarang gejala.

Menurut Ketua Unit Gabungan Endoskopi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr KL Goh, hepatitis C yang bermaksud radang hati boleh terjadi disebabkan virus hepatitis C yang disebarkan melalui darah.

“Ini bermaksud, jangkitan boleh berlaku ketika pemindahan darah daripada penghidap kepada penerima. Kebanyakan orang yang dijangkiti HCV tidak menunjukkan sebarang gejala utama dan disebabkan itu ia dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’.

“Namun, ada tanda kecil yang dialami pesakit antaranya berasa letih, kurang selera makan, loya, muntah, sakit perut (abdomen), warna kuning pada mata putih dan kulit, air kencing dan najis berubah warna menjadi seakan rona teh atau pucat ,” katanya.

Individu berisiko tinggi

Jika pernah menjalani pemindahan darah atau organ sebelum 1992, anda harus menjalani ujian HCV kerana ia antara punca utama penyebaran virus hepatitis C.

Bukan itu saja, malah mereka yang menjalani dialisis jangka panjang juga terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit berkenaan. Mungkin pernah juga kita meminjam berus gigi atau pencukur daripada penghidap penyakit berkenaan, yang tidak menyedari dia berhadapan dengan HCV.

Bagi penggemar seni tatu, bekam darah atau rawatan akupuntur, pernahkah anda terfikir atau memastikan bahawa jarum yang digunakan sudah disterilkan sepenuhnya?

Ini kerana jarum yang tidak disterilkan sepenuhnya turut memberi risiko tinggi kepada individu lain yang menggunakannya apabila ia pernah digunakan oleh penghidap HCV.

Walaupun ia jarang berlaku, virus berkenaan juga boleh berjangkit melalui ibu hamil kepada bayi yang dikandungnya. Malah, virus berkenaan juga boleh disebarkan melalui hubungan seks apatah lagi jika gemar bertukar pasangan.

Namun, ia tidak boleh dijangkiti melalui pelukan, ciuman dan berkongsi makanan atau minuman dengan penghidap penyakit berkenaan.

Malangnya, berbanding dengan hepatitis jenis lain, tiada vaksin yang boleh mencegah kehadiran virus hepatitis C. Justeru, individu yang merasakan diri mereka berisiko tinggi mendapat penyakit berkenaan perlu segera melakukan ujian darah bagi memastikan bebas daripada jangkitan.

Akibat tidak sedar, ramai mangsa lewat mendapatkan rawatan. Kelewatan itu menyebabkan berlaku kerosakan hati, seterusnya serangan itu meninggalkan parut pada hati atau sirosis yang menyebabkan organ itu menjadi keras.

Komplikasi kronik HCV

“Apabila penyakit hepatitis berubah menjadi kritikal dan kronik, kemungkinan organ hati akan rosak. Hati adalah organ yang sangat sensitif yang berfungsi mengawal gula, lemak dan protein untuk kelangsungan hidup selain membuang toksin dari dalam badan.

“Ia mudah tercedera dan berlaku keradangan yang juga menjadi sebahagian daripada proses pemulihan. Antara faktor yang boleh merosakkan hati ialah pengambilan dadah dan alkohol berlebihan, jangkitan viral kronik dan penyakit hati berlemak,” katanya.

Lama-kelamaan sel hati bertukar menjadi tisu fibrous dan meninggalkan parut dipanggil sirosis hati. Kira-kira 25 peratus sirosis boleh berkembang menjadi barah dengan 33 peratus daripada penghidap menemui ajal.

Tanda sirosis hati ialah abdominal membengkak, mudah lebam, berubah tingkah laku atau kepekaan, muntah darah dan najis hitam.

Apabila sirosis hati tidak mengekalkan fungsi sebenar hati atau komplikasi tidak terkawal, pesakit memerlukan pemindahan organ hati yang baru menerusi prosedur transplan untuk meneruskan hidup.

Pendedahan dan penyebaran maklumat mengenai hepatitis C boleh membantu mengurangkan risiko mendapat kerosakan hati kepada penghidap.

Sementara itu, bagi anda yang mahu menandatangani ikrar sokongan, layari MyCommitment2Cure.com.my.

Tindakan melindungi keluarga dan diri sendiri daripada HCV:

1. Anda sepatutnya memberitahu ahli keluarga, pasangan dan teman serumah untuk membuat ujian HCV jika mengetahui mengenai virus berkenaan.

2. Risiko untuk dijangkiti hepatitis adalah sedikit, tetapi jika melakukan hubungan lebih daripada satu pasangan, mereka dinasihatkan menggunakan kondom.

3. Jangan berkongsi barangan persendirian yang mungkin ada darah seperti jarum suntikan, berus gigi, pisau cukur, pengetip kuku dan gunting .

4. Pastikan mengelap darah yang mengalir secara sendirian. Gunakan bahan peluntur (satu bahagian peluntur campur dengan 10 bahagian air).

Tisu atau kain yang digunakan untuk mengelap darah perlu dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang. Balut luka itu dengan plaster.

5. Amalkan cara hidup yang sihat

6. Jauhi alkohol dan dadah.

7. Tidak perlu mengambil pil dan ubat rawatan tanpa memberitahu doktor bahawa anda mengidap hepatitis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 1:27 PM