PENGGUNAAN kemudahan LRT dilihat semakin meningkat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan dilihat berupaya untuk meningkatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11) menerusi projek yang sedang dijalankan ketika ini.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan kenaikan dalam hasil kerajaan yang disumbangkan oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta penghapusan subsidi minyak seharusnya memberi ruang kepada kerajaan untuk disalurkan semula bagi tujuan pembangunan.

Beliau berkata, projek rel seperti MRT 2, LRT 3 dan High Speed Rail (HSR) dijangka mendapat perhatian khusus, memandangkan sambutan yang amat baik daripada masyarakat negara ini.

“Oleh itu sektor pembinaan dijangka mendapat kesan langsung yang positif melalui pelaksanaan projek infrastruktur yang berdaya maju.

“Kesan limpahan juga akan dinikmati sektor lain seperti pembuatan bahan binaan, perkhidmatan kejuruteraan dan kewangan. Selain itu, adalah penting supaya kerajaan sentiasa mencari jalan untuk melaksanakan program pembangunan yang memberi pulangan yang tinggi dari sudut sosial dan pada masa yang sama mengoptimumkan sumber sedia ada,” katanya.

Menurutnya, dalam perkara ini, pembangunan aset Waqaf dilihat sebagai ‘kawasan pertumbuhan’ dan usaha bagi memajukannya mempunyai ruang yang masih luas.

Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan perangkaan yang disediakan oleh pihak Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), hanya 0.21 peratus daripada 11,091.82 hektar tanah Waqaf sudah dibangunkan.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan ini, pihak kerajaan boleh menaikkan lagi peruntukan bagi pembangunan Waqaf dan RMK10 sudah memperuntukkan sejumlah RM72 juta bagi pembangunan tanah Waqaf.

“Oleh itu, rancangan pembangunan lima tahun di dalam RMK11 adalah amat kritikal bagi mencapai status negara maju di samping mengekalkan usaha untuk mencapai bajet berimbang pada tahun 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 11:01 AM