London: Frank Lampard tidak menyesal meninggalkan Chelsea tanpa sebarang sambutan meriah dan sudah bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak Inggeris.

Selepas 13 musim cemerlang di Stamford Bridge, Lampard dimaklumkan 3 Jun tahun lalu kontraknya tidak akan diperbaharui.

Selepas berakhirnya musim Chelsea semalam, ini bermakna Lampard tidak dapat mengucapkan selamat tinggal yang sempurna untuk penyokong - berbanding bekas rakan sepasukannya di England, Steven Gerrard di Liverpool.

Lampard mencetuskan kontroversi kerana menyertai Manchester City musim ini selepas menandatangani kontrak bersama kelab Major League Soccer, New York City.

Dia beraksi untuk kali ke-618 dan perlawanan terakhir Liga Perdana dengan City melayan kunjungan Southampton di Stadium Etihad

Namun bercerita mengenai ‘pemergian’ meninggalkan Chelsea, dia memberitahu The Sun: “Saya memaklumkan akan meninggalkan Liga Perdana seminggu selepas aksi terakhir di laman sendiri.

“Namun saya tidak memerlukan sebarang sambutan. Sambutan bagi saya adalah melihat kembali di Munich (bila dia memenangi Liga Juara-Juara pada 2012) dan memenangi liga di Bolton (pada 2005).

“Ini yang kekal dalam memori.”

Lampard secara rasmi bergelar pemain New York bermula 1 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:06 AM