Singapura: Kerajaan Singapura bakal menggunakan undang-undang untuk melindungi nama dan imej pengasas dan bekas Presiden negara itu, mendiang Lee Kuan Yew daripada dieksploitasi bagi tujuan komersial.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Lawrence Wong berkata, langkah itu diambil ekoran kebimbangan rakyat mengenai ada syarikat atau individu cuba mengaut keuntungan menggunakan nama serta imej mendiang.

Kuan Yew meninggal dunia pada Mac lalu ketika berusia 91 tahun.

Katanya, kerajaan kini di peringkat awal bagi mengkaji bagaimana untuk melindungi nama dan imej bekas pemimpin itu.

Kerajaan mungkin meluaskan Akta Jata dan Bendera Singapura dan Lagu Kebangsaan (SAFNA) yang mengawal penggunaan simbol negara untuk melindungi nama dan imej mendiang atau memperkenalkan undang-undang baru.

Menurutnya, buat masa ini SAFNA tidak merangkumi nama tetapi pegawainya akan meneliti contoh di negara luar seperti Australia yang mempunyai peruntukan undang-undang untuk eksploitasi nama.

Jelasnya, eksploitasi nama untuk tujuan komersial termasuklah mencetak baju atau mencipta imej mendiang untuk dijual.

Pada Mac lalu sebuah rangkaian kedai roti menjual roti terbaru yang dinamakan ‘Lee Bu Kai’ yang bermaksud ‘tidak sanggup meninggalkan kamu.’

Syarikat itu menarik penjualan roti berkenaan dan meminta maaf selepas dikecam orang ramai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:46 AM