PENGARAH dan pelakon Gamatisme ketika tayangan perdananya, Rabu lalu.

Keadaan pasaran filem Melayu yang kurang memberangsangkan akhir-akhir ini menyebabkan produser lebih berhati-hati memilih tarikh tayangan atau memilih untuk mengekang bajet untuk promosi.

Kalau produser Hanyut masih menyimpan filemnya selama beberapa tahun kerana menantikan bajet untuk promosi besar-besaran, ada pula produser yang tidak kisah mengenai promosi.

Sebaliknya, mereka tayangkan filem di pawagam tanpa publisiti bukan hanya tidak membeli iklan di akhbar atau TV, malah tiada undangan media untuk pra-tonton sebelum ditayangkan sebagaimana kebiasaan.

Mungkin ada suara mengatakan produser yang memilih cara ini bukan hanya berkira soal kos, malah takut dengan tulisan dan komen wartawan terhadap filem mereka.

Ia juga cukup kuat pengaruhnya dalam menentukan kehadiran penonton ke panggung. Bagaimanapun, ada juga filem yang mendapat pujian tetapi kutipannya juga kurang.

Ada juga yang mencipta kontroversi sebelum filem ditayangkan untuk menarik penonton ke panggung. Apa pun pilihan produser, promosi itu sememangnya penting.

Apabila tiada promosi, bagaimana orang hendak tahu kewujudan filem itu di pawagam? Mungkin ada pro dan kontra apabila memilih strategi ini.

Mungkin produser ini tidak mampu lagi menambah kos untuk promosi dan berserah kepada nasib apabila filemnya ditayangkan di pawagam.

Mungkin ramai tidak sedar kehadiran dua filem yang ditayangkan serentak di pawagam pada 21 Mei lalu. Kedua-duanya filem seram, satu arahan M Jamil dan Rizal Halim, Dia dan satu lagi arahan M Subash Abdullah, Jendela.

Hakikatnya, Jendela mempunyai keunikan tersendiri apabila dikategori sebagai filem bisu pertama di Malaysia dan dijayakan seorang pelakon, Ruminah Sidek manakala penggambarannya mengambil masa dua hari.

Mungkin kos pembikinannya juga rendah dan mungkin juga ada menerima bantuan untuk pembikinannya, tetapi tiada bajet untuk promosi.

Berbeza dengan produser wanita ini, Datuk Ayu Putih yang memilih untuk mempromosi filem terbarunya, Gamatisme yang bakal ditayangkan Khamis ini.

Ini filem ketiga terbitan produksinya, Pencil Pictures & Records selepas Aku Ada Kau Ada dan Tokan. Walaupun kutipan dua filem ini kurang memberangsangkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya baru.

Baginya, Gamatisme adalah percubaan berani Pencil Pictures dalam menghasilkan karya berbeza dan membawa idea baru dan segar bagi memeriahkan industri perfileman tempatan.

Gamatisme membawa maksud dunia kacau hasil karya M Hitler Zami dan dijayakan pelakon popular, Nabila Huda, Syazwan Zulkifli dan Adelene Tsen.

Selepas ini, ada dua lagi filemnya menanti tayangan iaitu Bopeng dan Kak Yong genre komedi dan aksi komedi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:08 AM